Khamis, 16 Februari 2012

Tim Tebow - Memuliakan Tuhan Dalam Liga Football NFL

Tim Tebow beraksi untuk pasukan Denver Broncos menentang
Pittsburg Steelers dalam perlawanan playoffs NFL (8 Januari 2012)

Tim Tebow telah menjadi sensasi media dalam Liga NFL (National Football League)  semasa musim 2011, iaitu musim keduanya menceburi liga profesional itu. Bacalah kisahnya di sini...

Tim Tebow dilahirkan di Makati City, Filipina pada 14 Ogos 1987, anak yang kelima kepada ibubapanya warga Amerika yang sedang berkhidmat sebagai utusan Injil di Filipina. Semasa Tebow berumur 3 tahun, mereka sekeluarga kembali ke Amerika dan menetap di sebuah ladang di Florida.

Tebow dengan Piala Heisman
Bakat Tebow dalam permainan American football mula menyerlah semasa mewakili Nease High School, sehingga dia mendapat tawaran biasiswa daripada 80 kolej yang menginginkan khidmatnya dalam pasukan football mereka. Tebow akhirnya memilih University of Florida di mana dia akan menempa sejarah bersama pasukan Florida Gators antara tahun 2006-2009.

Dia beraksi hebat untuk pasukan Florida Gators dan pada penghujung tahun 2007, Tim Tebow menjadi pelajar sophomore (pelajar tahun kedua kolej) yang pertama dalam sejarah untuk memenangi Piala Heisman (untuk Pemain Kolej Paling Cemerlang Amerika). Tebow juga memimpin pasukan Florida Gators menjuarai perlawanan Kejuaraan Kebangsaan BCS pada tahun 2007 dan 2009. 

Tim Tebow berlutut sambil berdoa
Pada tahun 2010, Tebow telah dipilih menyertai pasukan Denver Broncos dan pada minggu kelima musim berikutnya pada 2011, Tebow telah dipilih menjadi quarterback utama pasukan NFL itu.  Permainannya yang bersemangat membawa kemenangan berturut-turut kepada pasukannnya termasuk empat permainan yang berturutan di mana Tebow menyemarakkan pasukannnya untuk menang pada suku keempat dan terakhir perlawanan, daripada kedudukan kalah, merampas kemenangan dalam waktu yang begitu sempit sehingga disifatkan pengulas sukan sebagai "kemenangan ajaib."

Tebow tidak segan untuk memuliakan Tuhan dalam semua perlawanan yang disertainya. Dia seringkali membongkok dan berlutut untuk berdoa sebelum, semasa ataupun selepas perlawanan. Gaya Tebow berdoa sambil membongkok dan berlutut sebelah kaki itu telah menarik perhatian peminat-peminat football yang mengelarkan gaya itu sebagai “tebowing.”

Tebow memimpin pasukan kolejnya, Florida Gators
menjuarai Kejuaraan Kebangsaan BCS (8 Jan 2009)
Tebow juga selalu memulakan sidang akhbar selepas perlawanan dengan kata-kata begini, “Pertamanya dan terutamanya, aku ingin berterima kasih kepada Tuhan dan Juruselamatku, Yesus Kristus. Dia telah melakukan begitu banyak di dalam hidupku…”

Semasa mewakili Florida Gators, dia juga sering mengenakan cat bertulisan ayat Alkitab di bawah matanya. Pada perlawanan akhir Kejuaraan Kebangsaan BCS pada 8 Januari 2009, Tebow memimpin Florida Gators menjadi juara kebangsaan sambil mengenakan perkataan “John:3:16” di bawah matanya. Peristiwa itu telah mencetus 92 juta carian Google untuk ayat John 3:16.

Tebow membuat lontaran semasa perlawanan playoffs
di antara Denver Broncos dan Pittsburg Steelers
Pada 8 Januari 2012, dalam perlawanan playoffs NFL, Tebow membuat lontaran yang membawa kepada touchdown kemenangan 29-23 untuk pasukannya, Denver Broncos menewaskan pasukan pilihan Pittsburg Steelers. Sejarah berulang lagi, sebab setelah peminat-peminat football mengetahui statistik lontaran Tebow sepanjang perlawanan yang berjaya disambut rakannya adalah sejauh 316 ela, maka tercetus lagi jutaan carian Google untuk ayat John 3:16 (baca kisahnya di sini).

Tebow bukan sahaja meminati football, dia juga suka melakukan kebajikan. Pada cuti musim bunga, dia sering pergi ke Filipina bersama ibubapanya untuk membantu dalam rumah anak yatim yang telah diasaskan oleh persatuan non-profit (yang tidak bermotif keuntungan) yang dimulakan oleh ayahnya. Di Filipina, Tebow juga berkesempatan menyampaikan khutbah kepada pelajar-pelajar sekolah dan penduduk-penduduk kampung serta membantu dalam bantuan perubatan.

Tebow berbual-bual dengan Zac sebelum perlawanan
Di Amerika, Tebow seringkali melawat kanak-kanak sakit di hospital Dia juga selalu menjemput seorang kanak-kanak yang cacat atau sakit ke perlawanannya sebagai tetamu khasnya untuk memberi dorongan dan harapan kepada kanak-kanak itu. Pada satu perlawanan Denver Broncos menentang Chicago Bears, selepas Tebow membantu Broncos menang 13-10, dia menghabiskan masa sejam bersama Zac Taylor yang berumur 9 tahun, yang selalu dalam kesakitan. Pada masa itu, Zac yang mempunyai 10 doktor, bertanya kepada Tebow, samada dia mempunyai doa rahsia untuk kunjungan hospital. Tebow membisikkan doa itu ke dalam telinganya.

Tebow bersama ayah dan ibunya
Ayah dan ibunya, Bob dan Pam pernah mengatakan seperti ini sewaktu ditemuramah. Bob berkata, "Aku mendoakan untuk seorang anak lagi, supaya aku boleh melatihnya menjadi pemberita Injil, tetapi Tuhan memberikan aku seorang quarterback!" Pam pula cepat menyambung, "Tetapi dia juga seorang pemberita Injil."

Ya, begitulah kisahnya Tim Tebow, pemain quarteback berusia 24 tahun, yang selalu ingin menggunakan kebolehannya bermain football untuk menyampaikan kasih Tuhan kepada dunia sekelilingnya.

(Klik di sini untuk menonton klip video Tim Tebow)