Rabu, 1 Julai 2015

Gereja Sabah Dipuji Kerana Buka Kawasan Letak Keretanya Untuk Pengunjung-Pengunjung Bazar Ramadan

Gereja Church of Mary Immaculate di Kota Kinabalu membuka kawasan letak keretanya
kepada pengunjung-pengunjung bazar Ramadan yang bersebelahan dengannya

KOTA KINABALU, 30 Jun - Sebuah gereja Katolik di sini telah mengizinkan kawasan meletak keretanya untuk digunakan oleh pengunjung-pengunjung bazar makanan bersebelahan yang diadakan untuk bulan suci Ramadan orang-orang Muslim. 

Untuk tindakannya yang mempamerkan keharmornian antara agama, The Church of Mary Immaculate di Bukit Padang telah mendapat pujian daripada ramai rakyat Malaysia, terutamanya pribumi yang menggelarkannya sebagai kebiasaan di negeri itu. 

"Itulah sebabnya saya mencintai Sabah... toleransi, kerjasama, persefahaman, kesatuan dan kasih itulah yang kita perlukan, ya ianya ada di sini. Ianya ada di Sabah," kata Daniel Doughty dalam satu catitan Facebook memuji keterbukaan gereja itu menawarkan kawasan meletak keretanya kepada pengunjung-pengunjung bazar itu.

Catitan Facebooknya telah mendapat ribuan "Likes" dan "Shares", kebanyakannya daripada rakyat Sabah yang menyokong tindakan gereja itu dan memuji sikap toleransi orang-orang Sabah dan pada masa yang sama menyelar orang-orang yang rasis dan politik keagamaan. 

"Syabas, itulah cara yang sepatutnya. Jangan biarkan ahli-ahli politik yang berfikiran sempit untuk merosakkan ini," kata Allen Jeyarajasingam.

"Saya pigi pasar Ramadhan... parking sana bah dlm tu parking church. Pagar terbuka luas utk kami tumpang parking our car... thanks to the church management," kata Rozie Alya Haikal.

Walaupun berbangga dengan toleransi agamanya, baru-baru ini terdapat laporan kes-kes perselisihan antara agama di Sabah. 

Kebanyakannya melibatkan dakwaan penukaran agama secara berselindung terhadap pribumi tanpa pengetahuan dan izin mereka. 

Kes yang terbaru adalah bantahan terhadap pemasangan salib di bangunan sekolah misi di Sandakan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang majoritinya Muslim.

(Diterjemah daripada artikel The Malay Mail Online bertajuk, "Sabah Church Lauded For Opening Car Park To Ramadan Bazaar Visitors" bertarikh 30 Jun 2015)