Ahad, 19 Jun 2016

Christina Grimmie Selamat Dikebumikan; Ayahnya Berkata "Rancangan Tuhan Lebih Baik Daripada Rancangan Saya"

Ibu Christina Grimmie, Tina, dihiburkan oleh suaminya Albert Grimmie semasa kebaktian peringatan
untuk anak perempuan mereka Christina yang telah ditembak mati oleh seorang peminat gila.

Christina Grimmie, penyanyi Kristian "The Voice" yang telah ditembak mati di Orlando minggu lepas telah selamat dikebumikan di negeri asalnya New Jersey. 

Dia telah dikebumikan selepas suatu upacara pengkebumian untuk keluarga dan kawan-kawan rapat, upacara yang telah dibiayai oleh jurulatih Christina dalam  "The Voice" Adam Levine. 

Suatu kebaktian peringatan yang terbuka kepada umum untuk gadis berusia 22 tahun itu telah menyusul pada hari Jumaat malam di Fellowship Alliance Chapel di Medford, New Jersey, yang telah dihiasi dengan gambar-gambar besar Christina dan sebuah salib yang bercahaya. 

Kebaktian peringatan itu telah dihadiri oleh ahli-ahli keluarga, termasuk ayahnya, Albert Grimmie, yang berbicara dengan mengharukan mengenai kepercayaannya yang berterusan kepada Tuhan walaupun merasakan kehilangan Christina. 

"Rancangan Tuhan lebih baik daripada rancangan saya. Saya tahu itu secara nyata. Saya tidak dapat merancangkan makan malam pun. Saya tidak dapat. Tapi saya juga berkelahi dengan Tuhan, 'Tuhan, apakah rancangan-Mu lebih baik daripada rancangan saya? Ini hal yang gila. Ini tak masuk akal. Tetapi saya perlu terus percaya kepada-Nya," katanya.


"Ada satu lubang yang amat besar di hati saya yang tak pernah akan hilang, tetapi Tuhan lebih besar daripada lubang itu," kata Albert Grimmie, ayah Christina Grimmie (Courier-Post, 18 Jun 2016).
Beberapa hari sebelumnya, beratus orang yang berkabung telah berkumpul untuk upacara berjaga berlilin di Evesham Township, di mana abangnya Marcus telah menyampaikan kata-kata penghormatan yang mengharukan kepadanya. 

Upacara berjaga berlilin yang diadakan di Evesham Township beberapa hari sebelum pengkebumian.

"Dia menyayangi kota ini, dia menyayangi negeri ini, dia menyayangi nyanyian, dia menyayangi Tuhan dan dia menyayangi saya dan dia adalah adik perempuan saya yang masih kecil," katanya. 

Marcus juga telah berbicara mengenai iman Christina dalam satu laman Facebook yang memperingati adik perempuan kesayangannya. 

"Dia adalah rakan kongsi dalam hidup. Seorang bintang besar. Seorang yang suka lawak. Seorang pendiam. Dan seorang sahabat kepada semua orang. Dengan ikhlas sekali."

Dia meneruskan, "Tapi di atas segalanya... dia adalah adik perempuan saya yang masih kecil. Dia menyayangi Tuhan dan keluarganya dan selalu ada untuk memberi sokongan kepada saya dan saya jujur tidak tahu apa yang saya akan lakukan tanpanya."

Sebelum kemunculannya di "The Voice", Christina sudah menjadi bintang di YouTube dan mempunyai ramai pengikut di media sosial sehinggalah detik kematiannya. Salah satu video paling popularnya adalah  nyanyiannya untuk lagu "In Christ Alone", yang telah ditulis oleh Stuart Townend dan Keith Getty. 

Nyanyiannya itu telah menjadi lagu pembukaan pada kebaktian peringatan pada hari Jumaat, di mana makciknya, Kathy juga memberikan kata-kata penghormatan. 

"Christina, saya sangat berbangga dengan kamu. Saya menyayangi kamu. Saya suka bahawa kamu sedang berjalan dengan Yesus di jalan yang bersalut emas. Saya akan berjumpa dengan kamu satu hari nanti," katanya.

Video: Kebaktian Peringatan Untuk Christina Grimmie

Christina telah ditembak oleh seorang peminat yang gila ketika dia sedang menandatangan autograf selepas menyampaikan persembahan di sebuah konsert di Plaza Live, Orlando. 

Itu adalah permulaan minggu yang tragik untuk Orlando, dengan 50 orang mati dalam satu serangan di sebuah kelab malam gay di kota itu sehari kemudiannya dan seorang anak kecil dibaham dan dibunuh oleh seekor buaya di pusat peranginan Disney di kawasan itu beberapa hari kemudian. 

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Christian Today bertajuk, "Christina Grimmie Laid To Rest; Father Says, 'God's Plan Is Better Than My Plan'" bertarikh 18 Jun 2016)