Isnin, 22 Ogos 2016

Neymar Jaring Sepakan Penalti, Brazil Raih Emas Olimpik

Neymar dengan lilit kepala bertulisan "100% Jesus" dan pingat emas bola sepak Olimpik Rio

Neymar menjaringkan gol kemenangan Brazil melalui sepakan penalti dengan keputusan 5-4 ke atas Jerman. (Penentuan tendangan penalti telah diadakan apabila perlawanan berakhir dengan seri 1-1 selepas masa tambahan).

RIO DE JANEIRO: Neymar menjaringkan penalti kemenangan untuk membantu Brazil merangkul pingat emas bola sepak Olimpik pertama mereka dengan kejayaan ke atas Jerman dalam penentuan tendangan penalti di stadium Maracana di Rio pada awal pagi semalam.

Kemenangan 5-4 dalam penentuan tendangan penalti itu membalas dendam bagi kekalahan 7-1 yang memalukan kepada Jerman pada peringkat separuh akhir Piala Dunia dua tahun lalu.

Pingat emas Olimpik merupakan satu-satunya kejuaraan penting yang sebelum ini gagal dimenangi Brazil, juara dunia sebanyak lima kali, dalam sejarah mereka.

Namun bintang Barcelona Neymar memperbetulkan sejarah apabila dia merembat tendangan penalti kemenangan ke sudut atas gawang sebelum dia mula menangis.

Di hadapan penonton yang terbesar di temasya Sukan di Rio, termasuk pemenang sembilan pingat emas dari Jamaica, Usain Bolt, tendangan percuma Neymar yang cantik meletakkan Brazil di hadapan pada separuh masa pertama. Sebagai penghormatan kepada lagenda pecut yang akan bersara itu, Neymar malah meraikan jaringan dengan aksi "panahan petir" manakala laungan "ole.ole.ole Neymar" bergema di sekeliling arena paling ikonik di Rio.

Bagaimanapun kapten Jerman, Max Meyer menikmati perayaan tersendiri yang istimewa apabila dia mencemuh 70,000 penonton yang hiruk-pikuk di stadium Maracana dengan mencium nombor tujuh pada jersinya selepas dia menolak masuk bola hantaran lintang Jeremy Toljan sejurus sebelum minit ke-60.

Kesemua lapan penalti pertama dalam penentuan berjaya dilaksanakan sebelum penjaga gol Brazil Weverton menghalang cubaan Nila Petersen untuk menyediakan pentas bagi Neymar. Dia tidak mengecewakan apabila, dengan beban negara di atas bahunya, dia merembat bola ke sudut atas gawang.


Pemain-pemain Brazil meraikan gol penalti kemenangan yang dijaringkan Neymar

(Dipetik daripada artikel Utusan Borneo bertajuk, "Emas Pertama Brazil Dalam Bola Sepak Olimpik" bertarikh 22 Ogos 2016)