Isnin, 10 Oktober 2016

Nasihat Perkahwinan Yang Terbaik

Oleh Dave Willis:

Ketika saya dan Ashley berkahwin 13 tahun yang lalu, kami muda dan sedang bercinta, tapi kami juga kurang pengetahuan (terutamanya saya)! Dalam perjalanan kami, kami telah mendapat daripada begitu ramai orang yang telah berkongsi dengan kami nasihat yang baik dan pengalaman hidup yang telah membantu keluarga kami melalui waktu-waktu senang dan susah. Melalui masa bertahun saya telah mengumpulkan beberapa nasihat terbaik yang telah dikongsi oleh orang lain dengan kami (dan beberapa yang telah saya pelajari daripada kesilapan diri). 

Jika anda mengapplikasikan 25 prinsip di bawah dalam perhubungan anda, ianya boleh membawa perbezaan yang mengubah kehidupan dalam perkahwinan anda!

1. Pilih untuk mengasihi satu sama lain walaupun pada waktu-waktu kamu bergumul untuk menyukai satu sama lain. Kasih itu komitmen, bukan sekadar perasaan.   

2. Selalu jawab panggilan telefon suami/isteri, dan seboleh-bolehnya, cuba jauhkan telefon ketika anda bersama pasangan anda.

3, Jadikan waktu bersama satu keutamaan. Aturkan malam pacaran (date night) yang konsisten. Waktu adalah "matawang dalam hubungan," oleh itu laburlah waktu secara konsisten dalam perkahwinan anda.

4. Kelilingilah diri anda dengan kawan-kawan yang akan memperkuatkan perkahwinan anda, dan jauhi orang-orang yang mungkin akan menggoda anda untuk berkompromi dalam karakter.

5. Jadikan gelak tawa amalan dalam perkahwinan anda. Kongsi bersama waktu-waktu bersukacita, dan juga carilah sebab untuk ketawa pada waktu-waktu yang sukar.

6. Dalam setiap pergaduhan, tidak ada seorang yang "menang" dan seorang yang "kalah." Anda adalah rakan kongsi dalam segala sesuatu, oleh itu kamu akan samada menang bersama ataupun kalah bersama.

7. Ingatlah bahawa dalam sebuah perkahwinan yang kuat, jarang ada dua orang yang kuat pada waktu yang sama. Kebiasaannya adalah suami dan isteri berganti-ganti menjadi kuat untuk satu sama lain pada waktu-waktu pasangannya merasa lemah. (Ini adalah salah satu daripada mutiara hikmat dari isteri saya yang mengkagumkan, Ashley!)

8. Utamakan apa yang terjadi dalam kamar tidur. Ianya memerlukan lebih daripada seks untuk membina perkahwinan yang kuat, tetapi ianya hampir mustahil untuk membina perkahwinan yang kuat tanpanya!

9. Ingatlah bahawa perkahwinan bukanlah 50-50, penceraianlah yang 50-50. Perkahwinan seharusnya 100-100. Ianya bukan membahagikan segala-galanya menjadi dua, tetapi kedua-dua orang memberikan segala yang mereka ada!

10. Berikan yang terbaik dari anda untuk satu sama lain, bukan saki-bakinya selepas anda memberi yang terbaik kepada semua orang lain.

11. Belajarlah daripada orang lain, tetapi jangan rasa perlu membandingkan hidup anda atau perkahwinan anda dengan apa yang dimiliki orang lain. Rancangan Tuhan untuk hidup anda adalah sesungguhnya unik!

12. Jangan abaikan perkahwinan anda sementara membesarkan anak-anak, jika tidak anda akan berakhir dengan rumah yang kosong dan perkahwinan yang kosong.

13. Jangan pernah menyimpan rahsia dari satu sama lain. Berahsia adalah musuh kepada keintiman.

14. Jangan pernah berbohong kepada satu sama lain. Pembohongan memecahkan kepercayaan. dan kepercayaanlah dasar untuk perkahwinan yang kuat.

15. Apabila anda melakukan kesilapan, akuilah dan dengan rendah hati memohon keampunan. Anda harus cepat mengucapkan, "Saya bersalah. Saya mohon maaf. Maafkanlah saya." 

16. Apabila suami/isteri anda memecahkan kepercayaan anda kepadanya, berikan pengampunan anda dengan serta-merta, yang akan memupuk kesembuhan dan membuka kesempatan untuk kepercayaan dibina semula. Anda harus cepat mengucapkan, "Saya mengasihimu. Saya mengampunimu. Marilah kita maju ke hadapan."

17. Bersabarlah satu dengan lain. Pasangan anda adalah sentiasa lebih penting daripada jadual anda.

18. Binalah perkahwinan yang sebegitu rupa sehingga anak-anak lelakimu ingin membesar menjadi suami yang baik dan anak-anak perempuanmu ingin membesar menjadi isteri yang baik.

19. Jadilah pendorong terbesar pasangan anda, bukan pengkritik terbesarnya. Jadilah orang yang melenyapkan air matanya, bukan orang yang menyebabkannya.

20. Jangan pernah mengata buruk mengenai pasangan anda kepada orang lain ataupun meluahkan mengenai mereka secara online. Lindungilah pasangan anda pada setiap waktu dan di setiap tempat.

21. Selalu pakai cincin perkahwinan anda. Ianya akan mengingatkan anda bahawa anda sentiasa terikat dengan pasangan anda dan mengingatkan seluruh dunia bahawa anda tidak boleh diganggu!

22. Bergabunglah dengan komuniti iman. Sebuah gereja yang bagus akan membawa kesan yang besar sekali dalam perkahwinan dan keluarga anda.

23. Berdoalah bersama-sama. Setiap perkahwinan akan menjadi lebih kuat dengan adanya Tuhan di tengah-tengahnya.

24. Ketika anda perlu memilih di antara tidak mengatakan apa-apa atau sesuatu yang menyakitkan pasangan anda, pilihlah untuk tidak mengatakan apa-apa setiap kali!

25. Jangan pernah menganggap penceraian sebagai satu pilihan. Ingatlah bahawa "perkahwinan yang sempurna" hanyalah dua orang yang tidak sempurna yang enggan berputus asa satu sama lain!

Dave Willis adalah seorang pastor, suami dan ayah kepada 4 anak. Dengan isterinya, Ashley, dia telah memulakan StrongerMarriages.org dan applikasi "Marriage" sebagai cara untuk mendorong pasangan-pasangan untuk membina perkahwinan yang lebih kuat.

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Church Leaders bertajuk, "The Best Marriage Advice Ever" yang ditulis oleh Dave Willis)