Isnin, 20 Februari 2017

Keluarga Pastor Yang Diculik Tingkatkan Ganjaran Ke RM100,000 Untuk Maklumat


PETALING JAYA: Keluarga kepada Pastor Raymond Koh Keng Joo yang diculik telah meningkatkan ganjaran untuk maklumat mengenai lokasinya ke RM100,000 dalam usaha mendapatkannya kembali dengan selamat. . 

Keluarga itu telah meningkatkan ganjaran itu sepuluh kali ganda cuma dua hari selepas menawarkan RM10,000 untuk maklumat berkenaan Koh, yang telah diculik pada 13 Februari. 

"Keluarga kami berterima kasih dan terharu ada pihak-pihak yang prihatin yang telah tampil untuk meningkatkan jumlah ganjaran yang ditawarkan," kata isteri Koh, Susanna Liew yang berusia 61 tahun. 

Liew berharap agar ganjaran yang telah dipertingkatkan itu dapat membantu usaha mencari Koh dan mengembalikannya dengan selamat ke pangkuan keluarga. 

Anak lelaki Koh, Jonathan menambah bahawa apa sahaja jenis maklumat mengenai penculikan ayahnya layak untuk mendapat ganjaran itu. 

"Sebuah panel akan menentukan bagaimana ganjaran penuh itu akan diagihkan menurut ketepatan dan kegunaan maklumat yang diberikan. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan jika diminta," dia berkata dalam satu kenyataan pada hari Isnin.

Mereka yang memiliki maklumat boleh menghubungi Jonathan pada nombor 011-39732670, tetapi telah diminta hanya menghubungi nombor itu jika mereka mempunyai maklumat yang sesuai untuk siasatan itu.

"Sementara kami sangat berterima kasih untuk semua doa dan ucapan sokongan yang telah dihantar kepada kami, kami berharap orang ramai akan menggunakan nombor telefon ini untuk tujuan membantu siasatan sahaja," kata Liew.

Koh telah diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4b/10, Petaling Jaya, kurang daripada 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis.


Inilah kereta Honda Accord yang dipandu oleh Pastor Raymond Koh ketika dia diculik.
Kedua-dua Pastor Raymond dan keretanya masih belum diketemukan sehingga kini.

Ketika itu dia sedang memandu sebuah kereta Honda Accord berwarna perak dengan nombor pendaftaran ST 5515 D. 

Koh telah menghadapi kontroversi pada 2011 selepas NGOnya telah didakwa oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) cuba menukar agama orang-orang Islam berikutan serbuan di sebuah majlis makan dan kesyukuran untuk mengumpul dana di Damansara Utama Methodist Church.

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel The Star bertajuk, "Missing Pastor's Family Ups Reward For Information To RM100,000" yang ditulis oleh Ashley Tang dan Akil Yunus bertarikh 20 Februari 2017)