Jumaat, 24 Februari 2017

Orang Asal Kristian Sabah Berkata Anaknya Dihalang Pergi Sekolah Selepas JPN Menahan Sijil Beranak


KUALA LUMPUR, 23 Februari - Seorang wanita Orang Asal Sabah yang memperakui dirinya Kristian berkata dia tidak dapat menghantar anak lelakinya ke sekolah oleh kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didakwa enggan melepaskan sijil beranak anaknya.  

Julitah Bahiau berkata dia telah memohon untuk surat beranak anak bongsunya Aryton Verlando selepas kelahirannya pada 28 Oktober 2010 di Hospital Likas, Sabah, tetapi mendapati bahawa JPN telah merekod anaknya sebagai Muslim apabila mengeluarkan sijil beranaknya. 

"Saya jelaskan kepada JPN bahawa anak saya telah dibesarkan sebagai seorang Kristian dan meminta bahawa perkataan Islam dipadamkan dari sijil beranak itu. JPN menerangkan bahawa anak saya harus dikenali sebagai Muslim kerana adanya perkataan Islam dalam MyKad saya," dia berkata dalam satu kenyataan.

Selepas menjelaskan bahawa dirinya bukan Muslim dan menunjukkan sijil baptisannya sebagai bukti, Julitah berkata bahawa JPN telah mengarahkannya untuk mendapatkan perintah perlepasan daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk memperbolehkan JPN memadam perkataan Islam daripada kad pengenalannya dan untuk memperbetulkan sijil beranak anaknya. 

"JPN kemudian mengambil surat beranak asal anak saya dan telah menahannya sehingga hari ini. Tidak ada sijil sementara diberikan kepada saya," katanya, dan menambah bahawa perkara itu belum diselesaikan lagi meskipun dia telah menghabiskan banyak wang, masa dan tenaga untuk berurusan dengan MUIS dan JPN.

Dia merayu untuk bantuan agar anaknya yang kini berumur 7 tahun dapat pergi ke sekolah, menyatakan bahawa dia tidak dapat mendaftar anaknya di mana-mana sekolah oleh kerana anaknya tidak memiliki sijil beranak.


Julitah dengan anak lelakinya Aryton (kiri) dan seorang anak kecil lagi

"Saya telah disuruh ke sana sini oleh JPN dan saya sudah tidak tahan lagi! Awal tahun ini apabila saya membuat permintaan agar JPN mengeluarkan semula sijil beranak anak saya, mereka cuma memberitahu saya untuk membuat permohonan semula. Permohonan ini akan dianggap sebagai "pendaftaran lewat untuk kelahiran" dan akan menyebabkan saya melalui satu lagi proses yang panjang!

"Saya adalah Orang Asal Dusun dari Ranau. Orang Asal Sabah tidak harus dilayani seperti ini! Anak saya mahu pergi ke sekolah. Siapa yang dapat membantu saya sekarang?"

"Saya adalah ibu kepada anak lelaki saya. Saya mempunyai hak untuk menyatakan apakah iman kepercayaan saya dan apakah agama yang dipegang oleh saya dan anak saya; bukannya JPN atau mana-mana pihak berkuasa kerajaan!" tambahnya. 

Kenyataan Julitah tidak menyatakan tempoh masa JPN didakwa telah menahan sijil beranak anak lelakinya atau bila dia pertama kali menyedari kesilapan yang didakwa pada sijil beranak anaknya, dan juga apakah respon daripada MUIS. 

Kumpulan Perpaduan Anak Negeri (PAN) Sabah yang telah mengeluarkan kenyataan yang mengandungi dakwaan Julitah, menuduh JPN menyebabkan masalah kepada orang-orang Sabah. 

"Bertentangan kemahuan orang-orang kita, ramai yang telah secara disengajakan dan/atau salah direkod sebagai Muslim. Yang lain-lain pula telah diberikan nama Muslim yang bertentangan kemahuan mereka. 

"Perjanjian Malaysia menjamin kebebasan beragama. Dasar JPN secara jelas melanggar hak-hak kami! Orang-orang kita sangat marah," kumpulan Sabah itu mengatakan dalam kenyataan yang sama.

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel The Malay Mail Online bertajuk, "Christian Sabah Native Says Son Barred From School After NRD Withheld Birth Cert" bertarikh 23 Februari 2017)