Khamis, 23 Mac 2017

31.7 Juta Jumlah Penduduk Malaysia Tahun 2016

Sumber imej: thecoverage.my

Jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2016 dianggarkan 31.7 juta orang iaitu meningkat sebanyak 0.5 juta berbanding 31.2 juta orang pada tahun lepas.

Jabatan Perangkaan Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata jumlah tersebut menunjukkan kadar pertumbuhan penduduk tahunan sebanyak 1.5% bagi tempoh yang sama.

Jumlah penduduk 31.7 juta itu juga merangkumi komposisi jantina iaitu 16.4 juta lelaki dan 15.3 juta perempuan dengan nisbah 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

“Etnik bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi bagi kategori penduduk warganegara di Malaysia iaitu sebanyak 68.6 peratus diikuti oleh etnik Cina (23.4%), India (7.0%) dan lain-lain (1.0%).

“Peratusan penduduk bukan warganegara pada tahun ini adalah 10.3% daripada keseluruhan jumlah penduduk Malaysia,” katanya.

Menurut jabatan tersebut, bagi taburan penduduk mengikut kumpulan umur bagi tahun ini tidak menunjukkan perbezaan ketara berbanding 2015.

“Penduduk dalam kumpulan umur kosong hingga 14 tahun berkurang 0.4% pada 2016 (24.5%) berbanding 2015 (24.9%).

“Penduduk dalam kumpulan umur bekerja, 15 hingga 64 tahun, meningkat 0.2% pada 2016 kepada 69.5% berbanding 2015 dan penduduk berumur 65 tahun dan lebih juga meningkat sebanyak 0.2% kepada 6.0% bagi tempoh yang sama,” katanya.

Bagi peratusan penduduk mengikut negeri, Selangor mencatatkan peratusan negeri penduduk tertinggi pada tahun ini iaitu 19.9% diikuti Sabah (12.0%) dan Johor (11.5%).

“Negeri yang mencatatkan peratusan penduduk terkecil pula ialah Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu masing-masing sebanyak 0.3%,” katanya.

(Diambil daripada artikel Malaysian Access bertajuk, "31.7 Juta Jumlah Penduduk Malaysia Tahun 2016" yang ditulis oleh Adam Daniel bertarikh 22 Julai 2016)