Khamis, 9 Mac 2017

Lelaki Ditangkap Dalam Kes Penculikan Pastor Selepas Membuat Tuntutan "Wang Tebusan RM30,000"


Polis telah menahan seorang lelaki berusia 32 tahun berkaitan dengan penculikan Pastor Raymond Koh, yang telah hilang sejak 13 Februari.

Ketua Polis Selangor, Abdul Samah Mat berkata bahawa suspek itu telah ditangkap di Ampang pada 3.30 pagi ini.

"Suspek itu telah berhubung dengan ahli keluarga mangsa itu sehari sebelumnya, meminta sejumlah wang untuk perlepasannya," kata Abdul Samah dalam satu kenyataan media.

Menurut Oriental Daily, lelaki itu telah meminta RM30,000 daripada keluarga itu. 

Abdul Samah berkata suspek itu telah direman untuk empat hari untuk memudahkan siasatan. 

"Kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 365 Akta Keseksaan untuk niat menculik dan Seksyen 385 untuk peras ugut," katanya.

Dia berkata bahawa polis masih sedang menyiasat kes itu dan merayu kepada orang awam untuk tampil ke hadapan untuk memberi maklumat. 

Abdul Samah juga meminta orang-orang awam agar tidak membuat spekulasi mengenai perkara itu. 

Koh telah diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng selepas beberapa kereta SUV berwarna hitam menghadang keretanya di Petaling Jaya.

Berikutan itu, terdapat spekulasi bahawa kes itu kemungkinan berkaitan agama. 

Pada 2011, pastor berusia 62 tahun itu terlibat dalam kontroversi selepas NGOnya, Komuniti Harapan, telah dituduh oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebagai berusaha menukar agama orang-orang Islam berikutan serbuan pada satu makan malam kesyukuran dan mengumpul dana di Damansara Utama Methodist Church. 

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Man Held Over Pastor's Abduction After Demanding 'RM30,00 Ransom'" bertarikh 9 Mac 2017)