Khamis, 15 Jun 2017

Haramkan Evangelicalisme Kristian Di Malaysia, Kata NGO

Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra)
Azril Mohd Amin (cetakan skrin YouTube oleh The Malaysian Insight)

SEBUAH gabungan NGO Islam mencadangkan satu tindakan provokatif: haramkan evangelicalisme Kristian di Malaysia.

Walaupun cadangan itu kelihatan sukar menerima pandangan positif Barisan Nasional memandangkan kekuatan pengundi Kristian di Malaysia Timur, cadangan itu sendiri membuktikan betapa garis toleransi agama negara ini semakin menipis.

“Di Malaysia, gerakan berbahaya evangelicalisme ini perlu dibendung kerana menggugat keharmonian beragama di Malaysia,” kata Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) Azril Mohd Amin dalam sebuah rencana yang diterbitkan Utusan Online hari ini.

“Justeru, kerajaan perlu menimbangkan untuk memperkenalkan undang-undang anti-evangelicalisme demi memastikan percubaan gerakan evangelical Kristian ini untuk mendominasi dakyah Kristian tidak berlaku,” tambahnya.

Azril juga menyuarakan sokongan kepada pengharaman acara Kristian baru-baru ini di Melaka. Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi mengarahkan polis untuk membatalkan acara empat hari dikenali sebagai Jerusalem Jubilee itu.

Azril berkata tindakan Zahid “bertepatan dengan tugas pemerintah untuk melindungi akidah umat Islam” kerana Islam ialah agama rasmi Malaysia.

Pengharaman itu selaras dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang mahu menjaga keamanan antara agama, katanya.

“Pada hakikatnya, ramai sarjana Kristian sendiri yang mengakui bahawa kecenderungan ini telah membawa kesan buruk kepada pertumbuhan gereja,” katanya lagi.

Azril mendakwa asal usul gerakan evangelical Kristian bermula dengan National Association of Evangelicals (NAE) di Amerika Syarikat pada 1942, yang kata Azril dibentuk untuk “mengimbangi kelompok fundamentalis yang terlebih dahulu membentuk American Council of Christian Churches (ACC).”

”Gerakan tersebut 20 tahun kemudian telah memunculkan sikap beragama baharu yang cenderung terhadap positivisme, kebebasan yang tanpa batas dan kecenderungan terhadap keterbukaan tanpa kawalan,” dakwa Azril.

Azril berkata yang Malaysia perlu mengikut jejak Russia mewujudkan undang-undang akta anti evangelisme, dikenali di negara it sebagai Akta Yarovaya, untuk menyekat ekstremis dan keganasan. Pindaan akta itu ditandatangani Presiden Russia Vladimir Putin Julai lalu.

“Kerajaan perlu meneliti kesesuaian cadangan ini dan mengusulkan kepada kamar peguam negara untuk mengkaji kemungkinan pengenalan suatu undang-undang tersebut.

“Adalah terang lagi bersuluh bahawa undang-undang anti-evangelisme perlu diwujudkan segera bagi membendung dan mengekang kegiatan aktiviti evangelis yang menggugat kerharmonian dan keamanan, sekali gus turut menggugat keselamatan dalaman negara kita. Kerajaan didesak segera berbuat demikian, sebelum padah melanda.” katanya lagi.

Jerusalem Jubilee dianjurkan Calvary Life Assembly Chinese (GLAC).

Perhimpunan serupa dirancang diadakan di Miri menampilkan penceramah yang sama dari Jerusalem Jubilee juga dibatalkan Persatuan Gereja di Sarawak.

Pemimpin negeri kerajaan dan pembangkang turut sama mengecam larangan acara perhimpunan penganut Kristian itu.

“Ini hanyalah perhimpunan kebangkitan yang asasnya selari dengan kepercayaan ramai penganut Kristian,” pemimpin PKR Sarawak Baru Bian memberitahu The Malaysian Insight minggu lepas.

Lebih daripada 42% penduduk Sarawak beragama Kristian. – 15 Jun, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Haramkan Evangelicalisme Kristian Di Malaysia, Kata NGO" yang ditulis oleh Bede Hong bertarikh 15 Jun 2017)