Selasa, 25 Julai 2017

Pastor Koh Mungkin Mangsa Pemerdagangan Manusia, Kata Polis


SATU sindiket antara sempadan yang terbabit dalam pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah dan senjata api mungkin bertanggungjawab terhadap penculikan Pastor Raymond Koh, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata maklumat itu berdasarkan kepada kenyataan diambil daripada tiga ahli sindiket yang ditahan dalam satu operasi khas dijalankan polis di Perak pada 17 Julai.

“Kami mengesyakinya berdasarkan kepada soal siasat yang dijalankan terhadap beberapa suspek yang ditahan dalam operasi itu,” katanya di Bukit Aman pagi ini.

Katanya, hasil siasatan itu juga mendapati sindiket berkenaan ada kaitan dengan kumpulan di selatan Thailand.

Bagaimanapun, Khalid enggan mengulas ketika ditanya adakah kumpulan terbabit sebahagian daripada puak pemisah Islam di sana.

Katanya kepada The Malaysian Insight, tunggu kemas kini dan maklumat seterusnya hasil kerjasama polis dengan pihak berkuasa Thailand.

Beliau berkata tidak dapat dipastikan sama ada Koh masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Dalang sindiket itu terbunuh dalam operasi yang dijalankan Unit Jenayah Berat Perak dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang selepas dia melepaskan tembakan pada 17 Julai.

Polis merampas 40 gram heroin dan dua plat kenderaan daripada kenderaan Toyota Vios suspek.

Polis juga menahan isteri suspek, seorang warga Thai di sebuah rumah di Kampung Selarong, Pengkalan Hulu, Perak dan merampas bom paip, 250 gram syabu, peluru dan gambar pastor itu, rumah suspek dan kenderaannya selain plat kenderaan bernombor ST5515D.

Turut ditahan ialah ahli sindiket berumur 30-an dan 60-an susulan operasi itu. – 25 Julai, 2017.

MENYUSUL LAGI

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Pastor Koh Mungkin Mangsa Pemerdagangan Manusia, Kata Polis" bertarikh 25 Julai 2017)