Ahad, 13 Ogos 2017

Suhakam Teruskan Siasatan Awam Terhadap Kehilangan Pastor Koh


SERAMAI 30 individu termasuk polis, ahli keluarga termasuk rakan-rakan ditemubual Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh dan tiga aktivis.

Suruhanjaya itu juga akan mengadakan siasatan awam pada Oktober bagi menentukan sama ada tindakan yang cukup diambil pihak berkuasa bagi mencari empat yang hilang itu.

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata siasatan kini sedang berjalan dan lebih banyak lagi temubual dijadualkan.

“Kita mulakan siasatan sebulan selepas menerima memorandum daripada CAGED – satu gabungan kumpulan masyarakat sivil yaang ditubuhkan pada Mei.

“Suruhanjaya itu turut menyiasat sama ada berlaku ‘kehilangan paksa’ yang membabitkan agensi kerajaan atau kehilangan sukarela, yang mana mungkin berpunca daripada penjenayah atau kumpulan agama yang tiada kaitan denan negeri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jerald berkata, suruhanjaya itu turut melihat tindakan polis ke atas kehilangan Koh, Amri Che Mat, Pastor Joshua Hilmi dan isterinya Ruth Hilmi.

Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari oleh kira-kira 15 lelaki menggunakan sebuah kenderaan SUV berwarna hitam. Kejadian itu berlaku pada waktu siang dan ia dilihat dirancang dengan rapi.

Polis sebelum ini berkata Koh mungkin diculik sindiket pemerdagangan manusia yang mempunyai kaitan dengan kumpulan di selatan Thailand.

Bagaimanapun ahli CAGED mempersoalkan mengapa lelaki berusia 62 tahun diculik dalam seolah-olah operasi ketenteraan dan apa gunanya dia kepada sindiket pemerdagangan manusia.

Siasatan awam Suhakam akan dipengerusikan tiga pesuruhjaya.

Jerald berkata suruhanjaya itu memutuskan untuk membuat siasatan awam berhubung kehilangan individu terbabit pada mesyuarat yang diadakan awal minggu ini.

“Kita akan mengundang pihak Kementerian Dalam Negeri, pihak berkuasa dan peguam yang mewakili keluarga untuk menjadi pemerhati.

“Salah satu sebab mengapa kita buat siasatan ini adalah untuk memastikan tindakan betul diambil pihak berkuasa dan polis berhubung perkara ini.

“Kita diberitahu polis masih meneruskan siasatan yang mana ia bagus dan kita jangkakan untuk mendapat lebih maklumat pada siasatan itu,” katanya.

Jurucakap CAGED Thomas Fan memberitahu The Malaysian Insight mereka menjangkakan jawapan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu berhubung kehilangan empat individu itu minggu depan.

“Laporan itu dihantar dua bulan lalu dan masih menunggu maklum balas. Kami percaya Koh adalah mangsa kehilangan paksa berdasarkan maklumat yang kami ada.

“Kami tidak pasti sama ada kumpulan kerja PBB sudah menghubungi kerajaan Malaysia berhubung isu itu tapi kami akan hubungi mereka untuk perkembangan,” katanya.

Fann berkata dia memberi taklimat berhubung kehilangan Koh kepada warga Malaysia di London ketika berada di sana untuk satu program pada 16 Julai.

“Memandangkan saya ke London, saya terfikir mengapa tidak adakan forum untuk Koh. Program itu dianjurkan aktivis dan penulis Mariam Mokhtar.”

Fann berkata mereka menantikan siastan awam oleh Suhakam dan bekerjasama dengan keluarga Koh untuk menandakan 200 hari kehilangannya.

Jurucakap keluarga Koh berkata,isterinya Susanne Liew dan tiga anaknya bersama penasihat guaman mereka, mengadakan pertemuan dengan Suhakam untuk berbincang mengenai kes dan cabaran yang dihadapi keluarganya dalam mencari jawapan dan perkembangan daripada pihak polis sejak penculikan itu.

“Pada 7 Julai, peguam Susanna memfailkan aduan rasmi kepada Suhakam, bersama dokumen dan laporan sokongan.

“Sejak itu, keluarga rakan dan rakan kerjanya memberikan kerjasama dengan siasatan Suhakam termasuk mengambil keterangan saksi.

“Susanne turut menggesa pihak polis menyokong dan memberi kerjasama kepada Suhakam,” katanya. – 13 Ogos, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Suhakam Teruskan Siasatan Awam Terhadap Kehilangan Pastor Koh" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 13 Ogos 2017)