Jumaat, 13 Oktober 2017

Leah Cubit, Misionari BEM dan Penterjemah Alkitab Bahasa Kayan Meninggal Dunia Pagi Tadi


Daripada Bob Teoh:

Kawan-kawan yang dikasihi,

Saya telah dimaklumkan oleh kawan-kawan saya, Oven dan Jenny Ford bahawa Leah Cubit, bekas missionari Borneo Evangelical Misison (BEM) telah kembali kepada Tuhan pada 9.00 pagi tadi di Toowoomba, Queensland. Leah pernah tinggal lama di Sarawak dan dalam tempoh itu telah secara seorang diri menterjemahkan seluruh Alkitab ke dalam Bahasa Kayan dengan bantuan pembantu-pembantu bahasa tempatan.

Buku kisahnya, "Light in the Sarawak Jungle" telah diterbitkan tahun lepas. "Perjalanan dengan menaiki bot menerusi Sungai Baram di Sarawak ke Marudi, kemudian selama tiga hari dengan sampan kanu di anak sungai Tutoh dan Apoh dari sungai besar itu, dengan hutan tebal di kiri kanan. Aku tinggal di sana bersama-orang yang molek ini selama kira-kira 27 tahun," begitu ditulisnya. Leah dikenali dengan mesra sebagai Pendita Ubong oleh orang-orang Kayan.


Rev Dr Justin Wan, presiden BEM Sarawak (juga dikenali sebagai SIB) dan pada waktu ini juga adalah presiden Persatuan Gereja-Gereja Sarawak juga mengingati Leah, "Saya adalah salah seorang pelajar sekolah yang telah dibawa kepada Kristus oleh Pendita Ubong semasa satu pertemuan persekutuan di Rumah Southwell pada 1974. Leah diperakui sebagai penterjemah perintis untuk Alkitab Kayan."

Leah telah tiba di Sarawak pada Jun 1950 dari Australia. Dia tinggal kebanyakan waktunya d Long Bedian (anda perlu Google untuk mencari tempat ini!)

Dia membesar di sebuah ladang di Cressy di kawasan luar bandar Tasmania. Pada usia kira-kira 5 atau 6 tahun, dia telah diberi cabaran memberi kepada misi. Dia memberikan segala yang dimilikinya yang sejumlah satu syiling atau sepuluh sen!

Pada suatu hari, dia telah diundang ke satu kebaktian Salvation Army dan sejak itu tiada lagi berpatah balik untuk Leah. Inilah yang dituliskannya dalam bukunya: "Sejak waktu itu, aku memiliki fokus baru dalam hidup - untuk lebih mengenali Kristus, untuk melakukan apa sahaja yang Dia ingin lakukan dalam hidupku. Ya, aku tahu aku adalah ciptaan baru dalam Kristus Yesus. Tetapi aku langsung tidak menyangka ke mana Kristus akan membawaku. Betapa indahnya jalan Tuhan!"

Saya telah mendapat penghormatan diberi kepercayaaan untuk menyediakan buku kisahnya untuk dicetak di Malaysia tahun lepas dan membawanya sendiri sampailah ke Toowomba kepada Leah di perkampungan pesaraannya. Ketika di situ, dia telah menunjukkan kepada saya nota-nota penterjemahannya yang disusun rapi dalam fail. Seorang wanita Tuhan yang menakjubkan. Leah kini berada bersama dengan mereka yang telah menulis 66 buku dalam Alkitab. Haleluya. Segala puji syukur hanya pada-Mu ya Allah.

(Diterjemah daripada catitan Facebook James Ritchie bertarikh 13 Oktober 2017)