Jumaat, 20 Oktober 2017

Penculikan Pastor Raymond Sama Dengan Operasi Polis

Roeshan Gomez, saksi pertama kes penculikan Ps Raymond Koh
memberi keterangan kepada Suhakam

PENCULIKAN Pastor Raymond Koh sama dengan bagaimana polis menjalankan operasi, siasatan awam Suhakam ke atas kehilangan Koh dan tiga yang lain diberitahu hari ini.

Saksi pertama siasatan Roeshan Gomez, yang memandu di belakang Proton Waja berwarna perak (terdahulu laporan menyebut Koh memandu Proton Waja berwarna perak), berkata beliau menyaksikan penculikan itu.

"Saya memandu ke krematorium ketika saya melihat kereta Waja (Proton) perak di hadapan saya. 

Kemudian saya lihat lima hingga enam orang dalam empat SUV. Kemudian saya melihat dua orang bergelut dalam kereta. Salah seorang cuba menarik orang lain keluar.

"Rakan yang bersama saya cuba merakamkan video tetapi kami dihalang oleh seorang lelaki India yang berdiri di hadapan kereta kami. Kami kemudian mengundur... dan meninggalkan tempat kejadian."

Gomez, 25 tahun yang bekerja di firma guaman berkata, beliau kemudiannya membuat laporan polis Kelana Jaya. 

Selepas menggambarkan kejadian kepada pegawai penyiasat Inspektor Ali Asra, polis kemudiannya didakwa memberitahunya berdasarkan gambaran yang diberi, "ia berkemungkinan sama dengan bagaimana polis menjalankan operasi."

Gomez kemudiannya ditunjukkan tiga rakaman kamera litar tertutup (CCTV) penculikan itu pada 13 Februari dan diminta mengesahkan sekiranya SUV dan lelaki sama yang dilihatnya dan rakannya ketika insiden itu. 

Saksi bagaimanapun tidak dapat mengingati apa-apa nombor pendaftaran kenderaan. 

Tiga hari kemudian saksi dipanggil ke ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya bagi membantu proses foto fit suspek berbangsa India. 

Tiada maklum balas daripada pihak polis selepas itu sehinggalah pada 7 Julai, Gomez dipanggil oleh pihak polis yang menyatakan suspek sudah ditahan dan mahu beliau mengenal pasti suspek daripada kawad cam. 

"Terdapat tiga barisan yang terdiri daripada dua barisan kumpulan Melayu dan satu barisan kumpulan India. 

"Saya memberitahu polis, saya tidak dapat mengenal pasti sesiapa. Polis kemudiannya meminta saya menandatangani satu dokumen bahawa saya tidak dapat mengenal pasti sesiapa," kata Gomez yang ditemani peguamnya. 

Beliau memberitahu siasatan awam itu, polis memberitahunya mereka menahan suspek di Kedah di mana mereka turut menemui nombor pendaftaran kenderaan Koh. – 19 Oktober, 2017

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Penculikan Pastor Raymond Sama Dengan Operasi Polis" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 19 Oktober 2017)