Jumaat, 20 Oktober 2017

Penganut Kristian Guna Kalimah Allah 'Tak Langgar Undang-Undang Awam'

Pemimpin-pemimpin gereja dan peguam-peguam untuk Bumiputera Sarawak,
Jill Ireland Lawrence Bill dan beberapa peguam yang menjadi pemerhati 
(Foto: The Malay Mail Online)

PENGGUNAAN kalimah “Allah” bukanlah tindakan yang bertentangan dengan mana-mana undang-undang tentang kesejahteraan awam, hujah peguam yang mewakili seorang wanita beragama Kristian yang cakera padat agamanya dirampas pihak berkuasa.

Peguam, Lim Heng Seng memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Perkara 11 (5) Perlembagaan Persekutuan menetapkan “perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang undangan yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.”

Lim mewakili Jill Ireland Lawrence Bill, seorang Bumiputera Melanau Sarawak beragama Kristian.

Turut hadir di mahkamah adalah peguam mewakili 10 kumpulan Kristian termasuklah Persekutuan Kristian Malaysia, Sidang Injil Borneo (SIB), Majlis Gereja Sabah, Persatuan Gereja Sarawak dan MCA.

Peguam, Shamsul Bolhassan mewakili Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan.

Dalam penghujahan kepada Hakim Nor Bee Ariffin hari ini, Lim berhujah yang penggunaan kalimah “Allah” oleh pengadu dan penganut agama sepertinya bukanlah “perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang undangan yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.”

“Dia tidak bertindak dalam cara yang melanggar Perkara 11 (5) Perlembagaan Persekutuan. Tiada undang-undang awam yang berkaitan dengan kesejahteraan awam atau kesihatan awam atau moraliti yang menghalang penggunaan kalimah itu,” katanya.

“Kita ada kuasa untuk menguruskan ancaman yang berkaitan keselamatan awam,” kata Lim, menambah yang pengharaman penggunaan Allah akan menganggu hubungan antara agama.

“Ia sama seperti seorang Iban terbang dari Malaysia Timur dan (perlu) mengisytiharkan sama ada dia memiliki senjata api atau dadah. Sama juga, jika seorang Kristian (terbang ke Malaysia Barat), dia perlu mengisytiharkan sama ada buku agamanya mengandungi kalimah Allah. Biar ada keseimbangan Yang Arif. Negera tidak berhak untuk menentukan bagaimana anda percayai dan siapa anda percayai.”

Permohonan semakan kehakiman itu timbul selepas Jill memutuskan untuk enggan menyerahkan lapan keping cakera audio pendidikan Kristian di bawah peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA).

Kementerian Dalam Negeri merampas lapan cakera padat yang mempunyai kalimah “Allah” daripada Jill di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang pada 11 Mei 2008.

Pada Ogos 2008, dia memfailkan semakan kehakiman supaya kementerian memulangkan cakera padat itu yang dibelinya untuk kegunaan peribadi. Pengadu menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan dalam semakan kehakiman itu.

“Tiada keraguan yang penggunaan kalimah 'Allah' adalah amalan agama Kristian,” kata Lim.

“Ini adalah soal sejarah. Kristian dan gereja yang menggunakan BM (Bahasa Melayu) dalam amalan dan majlis Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan.

“Ini adalah amalan komuniti Bumiputera Kristian di Sabah dan Sarawak serta Orang Asal dan Baba di Semenanjung Malaysia. Mereka menggunakan Kitab Suci mereka, Alkitab dalam BM yang merujuk Tuhan dengan kalimah ‘Allah’,” hujahnya.

Lim berkata penggunaan kalimah “Allah” adalah amalan yang diikuti berkurun lamanya dan “bergenerasi lamanya” sebelum Merdeka pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963.

Dia juga berhujah yang kalimah itu sudah muncul dalam Kitab Suci Kristian sejak awal kurun ke-17 sehingga awal kurun ke-20, dengan merujuk kepada Kitab Bible pertama berbahasa Melayu yang diterjemahkan oleh M. Leijdecker pada 1733.

Pekeliling Kerajaan 1986 langgar Perlembagaan

Lim merujuk kepada Pekeliling Kerajaan 1986 yang dilaksanakan di bawah PPPA yang melarang semua penerbitan Kristian menggunakan kalimah “Allah”. Penerbitan Kristian boleh dikenakan tindakan hanya kerana penggunaan kalimah itu tanpa mengambil kira kandungan penerbitan.

“Pekeliling Kerajaan 1986 adalah tidak sah secara undang-undang dan melanggar Perlembagaan. Ia mencabuli hak (Jill) dan penganut agama sepertinya yang menggunakan BM untuk mengamalkan ajaran agama mereka seperti dijamin di bawah Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan.”

“(Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan) telah melampaui bidang kuasa mereka dan mengabaikan tanggungjawab keberkecualian dan kesaksamaan dan “menunjukkan bias yang jelas dan berat sebelah dalam melaksanakan kuasa eksekutif mereka.”

Lim seterusnya berhujah yang komuniti Kristian di Malaysia Timur menggunakan Bahasa Melayu dalam ajaran dan amalan kepercayaan Kristian mereka menggunakan kalimah “Allah” yang merujuk kepada “Tuhan Pencipta Teragung”.

“Kitab suci mereka, Alkitab dan semua bahan penerbitan dalam BM menggunakan kalimah suci ini. BM juga digunakan dalam buku sembahyang mereka, arahan agama dan penyembahan serta latihan.”

Lim berhujah yang penganut Kristian yang beribadat dalam bahasa Melayu menggunakan kalimah “Allah” bergenerasi lamanya dan ia sudah sebati dalam setiap aspek kehidupan penganut agama itu, menambah yang kalimah “Allah” digunakan dalam setiap aspek kepercayaan, ibadah, sembahyang dan pendidikan agama komuniti itu, daripada majlis baptis kelahiran sehinggalah kepada perkahwinan dan majlis pengebumian.

“Kristian yang memegang dan mengamalkan kepercayaan mereka menggunakan BM sudah menggunakan ‘Allah’ sepanjang kehidupan mereka dan menganggap kalimah ‘Allah’ itu suci. Untuk mengharapkan mereka menggunakan nama lain sekarang adalah tidak adil, kasar dan menindas.”

Lim merujuk kepada kenyataan pengawai penguatkuasa kanan Jabatan Kastam, Suzanah Muin berkaitan rampasan buku itu yang mengatakan kalimah “Allah” eksklusif kepada agama Islam sahaja.

“Ia mendedahkan kepincangan asas dalam memahami Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Mereka (responden) juga terkhilaf apabila mengatakan kalimah ‘Allah’ hanya untuk Islam. Pandangan mereka ini berpunca daripada pendapat yang penganut Kristian mempunyai kefahaman lain tentang Allah berbanding orang Islam, dan kalimah ‘Allah’ adalah kata nama khas dan perkataan itu hanya unik berkait dengan Tuhan dalam Islam.

Lim memetik empat ulama Islam Malaysia iaitu Abdul Hadi Awang, Wan Ji Wan Hussin, Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin dan Mujahid Yusof Rawa yang berpendapat orang Islam dan bukan Islam menggunakan rujukan yang sama kepada Allah. Mereka menggunakan ayat Al-Quran dan Hadis yang mengesahkan Kristian dan Yahudi juga menggunakan kalimah “Allah”.

Semakan kehakiman itu mahu mengisytiharkan yang Jill bersama-sama penganut Kristian Bumiputera di Sabah dan Sarawak mempunyai hak dijamin Perlembagaan untuk mengamalkan agama Kristian mereka  dengan “bebas dan tanpa halangan” termasuklah hak menggunakan semua terminologi agama dalam bahasa Melayu dan Indonesia dengan cara yang sama sejak negeri Borneo itu menyertai Malaya untuk membentuk Malaysia pada 1963.

Pendengaran kes ditangguhkan kepada 2 November depan, pasukan pembelaan kerajaan dan kementerian akan membentangkan hujah mereka. – 19 Oktober, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Penganut Kristian Guna Kalimah Allah 'Tak Langgar Undang-Undang Awam'" yang ditulis oleh Bede Ong bertarikh 19 Oktober 2017)