Khamis, 16 November 2017

Cadangan Mais Agar DBP Terjemahkan Bible Menghina Orang Kristian Sabah


Majlis Gereja-gereja Sabah berkata cadangan Mais mencadangkan Dewan Bahasa dan Pustaka sediakan terjemahan rasmi Bible menghina orang Kristian Sabah.

Presiden Majlis Gereja-gereja Sabah Bishop Melter Jiki Tais berkata cadangan Mais mencadangkan DBP menyediakan terjemahan Bible rasmi bahasa Melayu menghina orang Kristian di Sabah.

“Kami sangat tersinggung dengan kenyataan peguam Mais, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, dan mahu beliau memohon maaf,” katanya.

Haniff dilaporkan membuat cadangan itu di mahkamah pada Rabu, mengatakan DBP boleh membetulkan kesalahan yang didakwa dilakukan orang Kristian apabila menggunakan kalimah “Allah” sebagai merujuk kepada Tuhan.

Beliau mendakwa masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak tersalah menggunakan kalimah “Allah” sebagai merujuk kepada “God” dalam bahasa Malaysia, dan berkata mereka sepatutnya menggunakan “Tuhan”, yang tidak akan mengurangkan hak mereka.

Haniff membuat cadangan itu kepada mahkamah di pendengaran tuntutan oleh seorang Bumiputera penutur bahasa Melayu dari Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill, terhadap menteri dalam negeri dan kerajaan supaya menegakkan hak perlembagaan beliau yang menurutnya dilanggar oleh larangan penggunaan kalimah “Allah” dalam penerbitan Kristian.

“Haniff harus tahu cadangannya itu mencerminkan kejahilan mengenai teologi, dan tafsiran bahasa asal Bible yang betul dan baik.

“Haniff harus tahu kita masyarakat Kristian di Sabah sama sekali tidak akan menerima Bible bahasa Malaysia yang disediakan DBP,” kata Melter.

Majoriti penutur bahasa Melayu beragama Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah “Allah” sebagai merujuk kepada Tuhan dalam upacara dan penerbitan sebelum kedua-dua negeri menyertai pembentukan Malaysia pada 1963.

Melter berkata majlis berpendirian tiada pihak boleh tentukan bahasa yang boleh digunakan orang Kristian dalam menyatakan kepercayaan mereka.

“Kita akan terus menggunakan kaliimah ‘Allah’ sebagai merujuk kepada Tuhan secara lisan atau bertulis hingga akhir zaman,” katanya.

(Dipetik daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "TKM Sarawak: Sesiapa Pun Boleh Terjemah Bible, Kecuali Mais" yang ditulis oleh Nawar Firdaws dan Tracy Patrick bertarikh 16 November 2017)