Khamis, 16 November 2017

Kenapakah Mais, DBP Harus Tulis Alkitab Untuk Orang-Orang Kristian? Timbalan Ketua Menteri Sarawak Bertanya


KUCHING, 16 Nov - Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Masing menegaskan hari ini orang-orang Kristian Malaysia sepenuhya tidak dapat menerima jika Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menterjemah Alkitab ke dalam Bahasa Malaysia seperti yang dicadangkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

"Mereka tidak akan faham asas penting Kristian, oleh itu mengapakah mereka ingin menulis Alkitab untuk kami?" dia memberitahu wartawan-wartawan di sini sewaktu memberi respon kepada hujah di mahkamah baru-baru ini oleh peguam Mais Mohamed Haniff Khatri Abdulla bahawa DBP boleh menghasilkan terjemahan rasmi Bahasa Malaysia untuk Alkitab, buku suci orang-orang Kristian untuk kegunaan rakyat Malaysia.

Masing menambah bahawa itu juga adalah satu penghinaan kepada Kristian jika DBP dibenarkan untuk menterjemahkan Alkitab ke dalam Bahasa Malaysia.

"Mereka mungkin ada beberapa pegawai yang memiliki ijazah kedoktoran dalam agama atau apapun itu, tetapi mereka tidak layak untuk menterjemah Alkitab ke dalam Bahasa Malaysia.

"Begitu juga, saya memiliki ijazah kedoktoran dalam antropologi, itu tidak melayakkan saya untuk menulis mengenai agama-agama lain," kata menteri dari Sarawak itu.

Dia berkata bahawa Mais harus tahu bahawa kalimah Allah telah digunakan oleh orang-orang Arab lama sebelum Islam muncul sebagai agama.

"Siapa yang memberi hak kepada Mais bahawa mereka sahaja yang boleh menggunakan kalimah Allah?" soalnya.

Masong berkata Malaysia adalah satu-satunya negara yang ada masalah dengan penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Muslim, dan mengatakan bahawa negara-negara lain, termasuk di Timur Tengah tidak mempunyai masalah.

Dia menambah bahawa pada waktu persekolahannya, dia mempunyai rakan-rakan sekolah yang Muslim yang mengambil kertas peperiksaan Pengetahuan Alkitab dan mendapat keputusan yang baik.

Dia berkata dengan mengambil pelajaran Pengetahuan Alkitab tidak menjadikan mereka kurang Islam.

Semasa pendengaran kes saman oleh Jill Ireland Lawrence Bill terhadap Menteri Dalam Negeri dan kerajaan di Kuala Lumpur semalam, peguam untuk Mais berhujah bahawa masyarakat Kristian di Sarawak dan Sabah telah salah menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Allah dalam Bahasa Malaysia, dengan mengatakan bahawa mereka harus menggunakan kalimah Tuhan untuk merujuk kepada Allah mereka.

Jill Ireland, seorang Bumiputera Kristian dari Sarawak, berusaha untuk menegakkan hak berperlembagaannya untuk menggunakan kalimah Allah dalam konteks bukan Islam.

Pada 2008, kerajaan persekutuan telah merampas lapan daripada cakera padatnya yang mengandungi kalimah Allah, dengan menyebut larangan 1986 untuk penggunaan kalimah itu oleh penerbitan-penerbitan Kristian.

(Diterjemah daripada artikel The Malay Mail Online bertajuk, "Why Should Mais, DBP Write Malay Bibles For Christians? Sarawak DCM Asks" yang ditulis oleh Sulok Tawie bertarikh 16 November 2017)