Isnin, 15 Januari 2018

China Robohkan Gereja Besar Kristian Di Shanxi


Pihak berkuasa di utara China telah memusnahkan sebuah gereja besar Kristian dalam tindakan yang diselar oleh sebuah kumpulan hak asasi beragama sebagai "penganiayaan ala-Taliban."

Pihak berkuasa China yang secara rasminya atheis sering bimbang dengan gerakan di luar kawalan mereka termasuk kumpulan agama. 

Gereja besar evangelikal Jindentai ("Golden Lampstand"), yang dicat dengan warna kelabu, dengan kemuncaknya beberapa menara dan salib besar berwarna merah, terletak di Linfen, wilayah Shanxi.  

Tindakan meroboh bangunan itu bermula pada hari Selasa di bawah "kempen seluruh kota untuk memusnahkan bangunan haram," begitu dilaporkan akhbar Global Times, yang memetik kata-kata seorang pegawai kerajaan tempatan yang tidak ingin dinamakan.

"Seorang Kristian telah menawarkan tanah ladangnya kepada sebuah persatuan Kristian tempatan dan mereka telah secara rahsia membina sebuah gereja di bawah samaran membina sebuah gudang," kata pegawai itu. 

Gereja Golden Lampstand di Linfen,
yang hampir siap dibina pada 2009

Jabatan perumahan tempatan telah menghentikan pembinaan gereja itu pada 2009 ketika ianya hampir siap dibina, tambah pegawai itu.. 

Beberapa ahli kumpulan Kristian itu kemudiannya telah dipenjarakan, menurut pegawai itu. 

"Sepasukan besar polis tentera telah dikerah dan terlibat dalam pemusnahan yang menggunakan banyak bahan letupan di bawah bangunan gereja itu," kata Bob Fu, presiden kumpulan hak asasi agama ChinaAid yang berpusat di Amerika Syarikat, memberitahu AFP pada Sabtu lalu.

"Ianya seperti penganiayaan ala Taliban/ISIS terhadap sebuah gereja yang aman," katanya sambil menambah bahawa gereja itu mempunyai 50,000 anggota. 

Rumah ibadah itu telah "dimusnahkan terutamanya kerana ianya enggan mendaftar" dengan pihak berkuasa Komunis," kata Fu. 



(Dipetik dan diterjemah daripada artikel The Sun Daily bertajuk "China Demolishes Christian Megachurch" bertarikh 13 Januari 2018)