Khamis, 11 Januari 2018

Suspek Khianat Gereja Dakwa Dengar Bisikan


Polis Kelantan berjaya menyelesaikan kes khianat ke atas Gereja Methodist Kota Bharu dan sebuah kuil di Jalan Hamzah selepas tertangkapnya suspek sejam selepas kejadian tengah malam, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata selepas bertindak membaling objek berupa kompenan penapis air sehingga memecahkan beberapa cermin tingkap bangunan gereja, suspek yang juga seorang penjawat awam, melarikan diri sebelum terlibat dengan kemalangan langgar lari.

Menurut Hasanuddin, selepas kereta dipandu suspek berlanggar dengan sebuah motosikal, suspek melarikan diri ke arah Pasir Mas namun disedari orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut.

"Orang awam tersebut telah mengekori kereta suspek sebelum berselisih dengan dua anggota polis yang sedang melakukan rondaan bermotosikal berhampiran rumah suspek di Kampung Belukar dan memaklumkan suspek terlibat dengan kes langgar lari.

"Sejurus itu satu pasukan polis dari IPD Pasir Mas membuat serbuan ke rumah suspek kira-kira jam 1 pagi, semalam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Gereja Methodist dan Kuil Arulmigu Siva Subramaniya dibaling dengan objek keras sehingga menyebabkan beberapa keping cermin tingkap bangunan tersebut pecah dan retak.

Hasanuddin berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek yang juga seorang pembantu am di Hospital Pasir Mas positif dadah dan mengalami halusinasi serta terlibat dengan kes khianat terhadap rumah ibadat tersebut.

"Suspek mengatakan beliau terdengar bisikan yang menyuruh melakukan perkara tidak elok terhadap rumah ibadat bukan Islam.

"Suspek yang berusia 34 tahun dikatakan mengalami tekanan hidup selepas kematian ibunya tahun lalu," jelasnya.

Tambah beliau, suspek ditahan dan direman sehari atas kesalahan positif dadah sebelum ditahan kembali pada jam 1.30 petang semalam mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap rumah ibadat.

"Suspek merupakan seorang bapa kepada seorang cahaya mata dan isterinya sedang mengandung anak kedua mereka.

"Pihak polis turut merampas dua komponan penapis air (filter) dan batu di lokasi kejadian dan pakaian serta kereta jenis Nissan Grand Livina ketika serbuan dilakukan di rumah suspek.  

"Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini," kata Hasanuddin.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk "Suspek Khianat Gereja Dakwa Dengar Bisikan" yabg ditulis oleh N Faizal Ghazali bertarikh 9 Januari 2018)