Selasa, 27 Februari 2018

Biskop Diganggu Tetapi Dilindungi Pemuda Islam Di Kuching


SEORANG Biskop Roman Katolik diganggu oleh sekumpulan pemuda Islam yang tidak mampu mengawal perasaan yang melaungkan “Allahu Akbar” ketika beliau keluar daripada sebuah pendengaran kes di Mahkamah Kuching hari ini.

Mahkamah itu hari ini mengetepikan rayuan tiga mualaf dan seorang wanita Melayu Islam yang mahu kes tukar agama mereka didengar di mahkamah sivil kerana mendakwa Mahkamah Syariah Kuching tidak mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan murtad itu.

Ketua Polis Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai menyifatkan gangguan verbal kepada Biskop Simon Peter Poh daripada pemuda di luar perkarangan mahkamah itu sebagai “kejadian kecil”.

Abang Ahmad mengatakan pemuda itu “terbawa-bawa emosi” dan tindakan mereka menunjukkan mereka tidak memahami isu yang dibicarakan.

“Semuanya terkawal. Biskop itu sebenarnya dilindungi oleh sekumpulan pemuda Islam lain dan diiringi ke keretanya,” kata Abang Ahmad kepada The Malaysia Insight.

Poh tidak cedera tetapi masih terganggu dalam kejadian itu.

Sebuah video yang kini tersebar menunjukkan Poh sedang berjalan sendiri melintasi sekumpulan pemuda Islam yang berkumpul di mahkamah di Petra Jaya itu.

Apabila gangguan itu bermula, sekumpulan pemuda Islam lain serta merta membentuk kepungan mengelilingi biskop itu dan melindunginya.

Tiada tangkapan dibuat.

Polis menjangkakan hampir 400 orang hadir ke mahkamah. – 27 Februari, 2018.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Biskop Diganggu Tetapi Dilindungi Pemuda Islam Di Kuching"  yang ditulis oleh Desmond Davidson bertarikh 27 Februari 2018)