Selasa, 27 Februari 2018

Mahkamah Persekutuan Perlu Rujuk Perjanjian Malaysia Bagi Kes Murtad

"Walaupun tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia akan tetapi agama rasmi sepatutnya tidak akan diadakan di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak, dan segala perundangan mengenai agama Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaya tidak akan digunakan di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak" - Perkara 1, Perjanjian Malaysia 1963

MAHKAMAH Persekutuan seharusnya merujuk kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Malaysia sebelum menolak kes penukaran agama ke mahkamah syariah, kata Persatuan Gereja Sarawak (ACS).

Pengerusi ACS, Reverend Justin Wan berkata Mahkamah Persekutuan tidak harus campur tangan kerana menurut MA63, Sarawak bebas untuk mempraktikkan agama.

"Islam adalah agama rasmi Malaysia tetapi Sabah dan Sarawak bebas untuk mempraktik kepercayaan agama kami. Ia salah satu daripada Perjanjian 18 Perkara.

"Jadi, isu ini tidak sepatutnya diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

"Selama ini mahkamah sivil telah menyatakan mereka (mahkamah syariah) tiada bidang kuasa ke atas kes-kes murtad, dan sekarang Mahkamah Persekutuan kata ada pula.

"Kami serahkan keputusan hari ini kepada mahkamah. Tetapi bagi kami ia bukan keputusan yang bijak. Ia bukan dalam konteks hak Sarawak," beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Wan memberi maklum balas terhadap keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan hari ini untuk menolak rayuan permohonan empat orang Islam supaya permohonan murtad mereka didengar di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah tertinggi itu memutuskan bahawa mahkamah syariah Sarawak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan murtad mereka.

Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin dalam penghakimannya di Kuching hari ini mengatakan walaupun tiada peruntukan dalam mahkamah syariah tetapi ada seksyen dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 yang boleh digunakan untuk mendengar kes murtad.

Wan turut menasihati ahli-ahli gereja agar bertenang dan tidak membuat sebarang komen yang tidak perlu di media sosial.

"Sebagai orang Kristian dan rakyat yang patuh kepada undang-undang, kita harus mematuhi mahkamah undang-undang dan peraturan negara," katanya.

Presiden Persatuan Peguam Syariah Malaysia Musa Awang berkata semua pihak perlu menerima keputusan mahkamah itu dengan hati terbuka dan jadikannya sebagai satu cara untuk menyatukan negara dan semua agama.

"Kes ini harus menjadi pengajaran kepada semua negeri yang tidak memperuntukkan pengisytiharan yang seseorang itu bukan lagi seorang Islam, seperti peruntukan sama dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam atau Enakmen atau Ordinan Mahkamah Syariah di negeri lain.

"Penghakiman ini juga memperakui bahawa mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan murtad, yang menentukan sama ada seseorang itu memeluk agama Islam atau lahir dalam Islam kekal sebagai seorang Islam atau tidak," katanya. – 27 Februari, 2018.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Mahkamah Persekutuan Perlu Rujuk Perjanjian Malaysia Bagi Kes Murtad" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 27 Februari 2018)