Selasa, 13 Mac 2018

Bible Knowledge Mulai Bangkit Kembali Di Sekolah-Sekolah Sabah

Wilfred Madius Tangau (kanan) menunjukkan buku-buku teks Bible Knowledge kepada
pelajar-pelajar SM St John, Tuaran

KOTA KINABALU: Mata pelajaran Bible Knowledge (Pengetahuan Alkitab), dulunya kurang diberi perhatian di Sabah, kini mulai bangkit kembali atas usaha-usaha Upko parti komponen Barisan Nasional. 

Pemangku presiden Upko, Wilfred Madius Tangau berkata walaupun mata pelajaran itu telah menjadi sebahagian daripada kurikulum pendidikan untuk sekian waktu, tidak ramai pelajar yang mengambilnya.

Faktor itu, dan juga kerana kekurangan guru-guru, bererti bahawa Bible Knowledge boleh dikatakan telah dilupakan di negeri itu.

Bagaimanapun, wakil rakyat Tuaran itu berkata mempromosikan pelajaran itu telah menjadi keutamaan Upko sejak bekas presiden parti itu, Bernard Dompok membuat permintaan agar ianya dijadikan pelajaran elektif (yang boleh dipilih) untuk SPM semasa tempohnya menjadi ahli kabinet persekutuan pada 2011. 

"Kami menyedari cabaran-cabarannya apabila kerajaan memberi kelulusan... oleh itu Tan Sri Bernard berkata Upko akan memainkan bahagiannya, dan dia menawarkan untuk membekalkan buku-buku teksnya."

Wilfred Madius Tangau (dengan topi biru) gembira dengan jumlah pelajar yang kini
mengikuti pelajaran Bible Knowledge di Sabah

Tangau berkata Upko juga telah memulakan usaha untuk penubuhan tabung bagi membiayai elaun guru-guru Bible Knowledge, yang secara sukarela mengadakan kelas selepas waktu sekolah. 

Kini, dia berkata, lebih daripada 1,000 pelajar di sekeliling Sabah sedang mempelajari subjek itu.

Tangau berkata Bible Knowledge adalah mata pelajaran yang penting kerana ianya boleh membantu pelajar-pelajar memperbaiki Bahasa Inggeris mereka di samping memberikan mereka suatu bentuk kesusasteraan. 

Ianya juga dapat memupuk nilai-nilai yang baik di kalangan pelajar-pelajar, yang dapat membantu mereka membuat keputusan yang tepat dalam hidup, tambahnya.

"Saya berharap bahawa mereka akan menggunakan pengetahuan yang diperolehi daripada mata pelajaran itu untuk menjadi orang-orang yang lebih baik dan berguna apabila mereka dewasa."

Tangau, yang adalah menteri sains, teknologi dan inovasi, telah menyampaikan buku-buku teks Bible Knowledge dalam dua acara berasingan di Tuaran semalam.

Dalam acara pertama, dia telah menyampaikan 50 set buku teks kepada SM St John di Tuaran. Dalam acara kedua, dia telah memberikan 35 set kepada SMK Tun Fuad Stephens di Kiulu, yang terletak dalam kawasan itu. 

Dia berkata bahawa dia telah menerima pesanan untuk 600 set lagi, iaitu tambahan kepada 750 set yang telah diedarkan kepada pelbagai sekolah di negeri itu. 

"Ini adalah sesuatu yang belum pernah terjadi sebelum ini," katanya. 

(Diterjemahkan daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Bible Knowledge Makes Comeback In Sabah Schools" yang ditulis oleh Durie Rainer Fong bertarikh 13 Mac 2018)