Rabu, 14 Mac 2018

Info Ringkas Mengenai Mata Pelajaran Bible Knowledge (SPM)


Artikel semalam mengenai perkembangan Bible Knowledge di Sabah telah menarik perhatian ramai. Apakah mata pelajaran Bible Knowledge itu? Berikut adalah info ringkas mengenai mata pelajaran itu:

Bible Knowledge (Pengetahuan Alkitab) adalah mata pelajaran elektif untuk SPM yang diadakan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris. Pemuda Majlis Gereja-Gereja Malaysia (Pemuda CCM) telah membuat seruan pada Mac 2012 agar Kementrian Pendidikan Malaysia menimbangkan saranan untuk menjadikan mata pelajaran Bible Knowledge dwibahasa (dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia). 

Sehingga kini belum ada perubahan dalam dasar Kementrian Pendidikan dan mata pelajaran itu masih diadakan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.   

SUKATAN PELAJARAN

Pengenalan

Sukatan untuk Bible Knowledge SPM memerlukan minima dua jam pembelajaran setiap minggu untuk tempoh dua tahun. Ianya meliputi pembelajaran mengenai kehidupan dan ajaran-ajaran Yesus Kristus seperti yang terkandung dalam Injil Lukas, dan mengenai pertumbuhan Gereja Awal seperti yang terkandung dalam Kisah Para Rasul. 

Versi Alkitab Revised Standard Version (RSV) telah digunakan sehingga 2006. Versi Alkitab Good News telah menjadi teks standard yang dipakai untuk SPM 2007 dan seterusya. Calon-calon peperiksaan, bagaimanapun tidak akan dipotong markah jika menggunakan versi-versi lain dalam jawapan mereka.

Matlamat

Matlamat umum mata pelajaran ini adalah untuk memperolehi pengetahuan dan pemahaman mengenai kehidupan dan ajaran-ajaran Yesus Kristus dan pertumbuhan Gereja Awal. Calon-calon dikehendaki:

1) mengingati dan memilih maklumat berfakta. 
2) menerangkan, menjelaskan, mengisahkan, membanding dan membezakan peristiwa-peristiwa dan ajaran-ajaran dalam bentuk yang tersusun.
3) menerangkan dan menunjukkan peranan dan kepentingan orang-orang istimewa dalam teks.
4) memahami respon Kristian terhadap isu-isu moral. 

Isi Kandungan Mata Pelajaran

Calon-calon perlu mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang secukupnya mengenai keadaan sejarah, budaya, politik, sosial dan agama pada zaman itu. Pengetahuan yang terperinci mengenai kedua-dua teks itu diperlukan. Kandungan mata pelajaran itu terbahagi ke dalam dua seksyen:

Seksyen 1: 
Kehidupan dan Ajaran Yesus Kristus seperti yang terkandung dalam Injil Lukas (24 bab).

Seksyen 2:
Pertumbuhan Gereja Awal seperti yang terkandung dalam Kisah Para Rasul (28 bab).

Sumber Rujukan

1. A Study Guide to the Gospel According to Luke (Issachar Sdn Bhd)
2. A Study Guide to the Acts of the Apostles (Issachar Sdn Bhd)

Guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah di Tuaran menunjukkan buku teks BK
yang telah disampaikan oleh YB Wilfred Madius Tangau (bertopi biru)

(Sumber: artikel Scripture Union bertajuk "SPM Bible Knowledge")