Rabu, 14 Mac 2018

"Adakan Bible Knowledge Dalam Dwibahasa Demi Kebaikan Semua Pelajar" - Pemuda CCM



Mata pelajaran Bible Knowledge untuk SPM adalah sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris sehingga kini. Pada Mac 2012, Pemuda Majlis Gereja-Gereja Malaysia (Pemuda CCM) pernah mengeluarkan kenyataan yang menyeru agar Kementrian Pendidikan Malaysia mempertimbangkan mata pelajaran itu diadakan secara dwibahasa, iaitu diadakan dalam Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Malaysia. Berikut adalah kenyataan dari siaran media Pemuda CCM:

Kuala Lumpur, 2 Mac 2012 -- Merujuk kepada artikel dalam Sunday Star bertarikh Februari 26, 2012, bertajuk “Review of Education System Soon”, Pemuda Majlis Gereja-Gereja Malaysia (Pemuda CCM/CCM Youth) menyuarakan kebimbangan mereka agar Kementerian Pelajaran memberi pertimbangan kepada masyarakat Kristian dalam kaji semula sistem pendidikan negara, terutamanya dalam peperiksaan mata pelajaran SPM Bible Knowledge, Pengetahuan Alkitab.

Sempena perayaan ulang tahun ke-400 penerbitan Alkitab, Pemuda CCM meminta Kementerian Pelajaran menjadikan mata pelajaran Bible Knowledge dwibahasa. Ini adalah kerana sebahagian besar masyarakat Kristian, terutamanya di Sabah dan Sarawak, menggunakan Bahasa Malaysia dan bukannya Bahasa Inggeris. Golongan ini telah dipinggirkan selama ini dan keadaan ini harus diperbetulkan.

Mengikut laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, penganut agama Kristian berjumlah sebanyak 2.6 juta atau 9.2% daripada 28.3 juta penduduk di Malaysia.

Kajian lebih mendalam menunjukkan 73.3% daripada penganut agama Kristian bermastautin di Sabah, Sarawak dan Labuan. Kebanyakan daripada mereka adalah penganut bumiputra yang menggunakan bahasa Malaysia atau bahasa ibunda sebagai bahasa sehari-hari.

Peperiksaan mata pelajaran SPM Bible Knowledge selama ini hanya dalam Bahasa Inggeris dan adalah satu-satunya mata pelajaran yang berkaitan dengan agama Kristian di sekolah menengah. Walaupun bilangan bumiputra Kristian begitu tinggi, mereka seolah-olah terlepas dari perhatian Kementerian Pelajaran.

Anggapan bahawa penganut Kristian di Malaysia hanya berbahasa Inggeris adalah kurang tepat dan Pemuda CCM berpendapat adalah wajib ini dibetulkan.  Disebabkan tanggapan salah ini, pelajar-pelajar bumiputra beragama Kristian di Sabah dan Sarawak kehilangan hak menimba ilmu serta peluang menduduki peperiksaan SPM dalam bidang Pengetahuan Alkitab.

Hal in juga mendorong Pemuda CCM untuk membawa perhatian kepada sambutan ulangtahun ke-400 Alkitab oleh masyarakat Kristian yang diterajui Persatuan Alkitab Malaysia (Bible Society of Malaysia) dan Seminari Teologi Malaysia.

Penterjemahan Injil Matius ke Bahasa Malaysia telah diterbit pada tahun 1612. Ini merupakan penerbitan yang amat bersejarah dan penting kerana ia adalah penterjemahan terawal yang bukan ke mana-mana bahasa Eropah.



Justeru, Pemuda CCM mengesyorkan agar Kementerian Pelajaran melaksanakan perubahan-perubahan seperti berikut:

  • Menjadikan peperiksaan mata pelajaran SPM Bible Knowledge dwibahasa, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris demi kebaikan semua pelajar;
  • Menyediakan kemudahan dan bahan pelajaran agar guru-guru bumiputra beragama Kristian dapat dilatih mengajar Pengetahuan Alkitab sebagai mata pelajaran teras semasa waktu sekolah di Sabah dan Sarawak;
  • Memastikan hanya guru-guru beragama Kristian ditugaskan untuk menyediakan kertas peperiksaan Pengetahuan Alkitab;
  • Memastikan hanya guru-guru beragama Kristian ditugaskan untuk menyemak kertas peperiksaan Pengetahuan Alkitab;

Pemuda CCM akan terus berusaha demi keadilan dan hak-hak pelajar-pelajar beragama Kristian dan pelajar-pelajar bukan Islam agar mereka dapat menikmati sepenuhnya sumber-sumber pengajaran yang boleh membawa manfaat kepada iman mereka; dan dengan ini, menyumbang kepada usaha-usaha membina negara yang patuh kepada ajaran agama dan taat kepada Tuhan.


Yang benar,

DANIEL CHAI, 
Setiausaha Pemuda CCM,
Pemuda Majlis Gereja-Gereja Malaysia
2 Mac 2012

(Diambil daripada artikel CCM Youth yang ditulis oleh Daniel Chai bertarikh 5 Mac 2012)