Sabtu, 3 Mac 2018

Sarawak Akan Pinda Undang-Undang Syariah Berkenaan Murtad

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg (kedua dari kanan)
bergambar dengan Biskop Besar Kuching, Simon Peter Poh (ketiga dari kiri)
selepas perasmian St. Joseph International Private School di Kuching pagi ini
(Foto: Sulok Tawie / Malay Mail Online

KUCHING - Ketua Menteri Sarawak. Datuk Patinggi Abang Johari Openg berjanji hari ini bahawa kerajaan negeri akan membuat pindaan kepada Ordinan Mahkamah Syariah Sarawak 2001.

Dia berkata itu adalah satu jalan penyelesaian untuk mualaf Muslim meninggalkan Islam.

"Beri saya enam bulan untuk melakukan ini," dia memberitahu wartawan selepas merasmikan pembukaan St. Joseph International Private School bernilai RM9.5 juta di sini. 

Dia berkata adalah tidak adil untuk membiarkan mualaf Muslim yang ingin meninggalkan agama itu menanti tanpa jawapan oleh kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak menerima permohonan mereka untuk keluar Islam. 

"Ini adalah soal keputusan pentadbiran," katanya. 

Semalam Pakatan Harapan peringkat negeri telah menggesa kerajaan Sarawak untuk meminda undang-undang negeri untuk memberikan panduan jelas agar kes-kes murtad boleh mendapat Surat Kelepasan yang diperlukan yang akan membenarkan mereka dikenali secara sah sebagai tidak lagi Muslim. 

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg semasa sidang akhbar
selepas pelancaran rasmi St. Joseph International Private School di Kuching pagi
(Foto: Muhd Rais Sanusi / Borneo Post)

Usul itu telah timbul selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan Selasa lepas bahawa hanya Mahkamah Syariah yang mempunyai kuasa untuk mendengar kes-kes murtad selepas empat rakyat Sarawak memohon untuk meninggalkan Islam.

Tiga orang itu ingin kembali kepada Kristian dan seorang lagi ingin memeluk Kristian. 

Abang Johari menyatakan bahawa pendengaran Mahkamah Persekutuan itu adalah hanya untuk memutuskan mahkamah mana, sivil atau Syariah, yang mempunyai bidang kuasa ke atas mereka yang ingin meninggalkan Islam. 

Dia menjelaskan lagi bahawa oleh kerana bidang kuasa telah diberikan kepada mahkamah Syariah, tidak harus ada lagi halangan perundangan yang menyulitkan mualaf Muslim yang memohon untuk keluar agama itu.

"Ada kekurangan dalam ordinan mahkamah kita, dan saya akan menguatkannya.

"Oleh kerana mereka tidak lagi ada iman (dalam Islam), maka tidak seharusnya ada halangan perundangan bagi mereka. Dan itulah sebabnya mesti ada satu keputusan mahkamah yang menyatakan bahawa mereka tidak lagi Muslim dan dengan keputusan itu, mereka boleh pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengubah butir-butir peribadi mereka dan mendapat kad pengenalan baru." katanya. 

Sebelum itu dalam ucapannya, ketua menteri itu mengakui terdapat kelemahan dalam undang-undang Syariah negeri. 

"Saya akan memindanya. Jika ada masalah, juga ada penyelesaiannya. Tidak perlu menimbulkan kekeliruan dalam perkara kecil ini.

"Sebagai Ketua Menteri anda, saya akan selesaikan masalah itu."

Abang Johari berkata dia tidak ingin salah faham berkaitan agama-agama bertambah dan merebak. 

Dia berkata itulah sebabnya kerajaan negeri sedang menggunakan autonominya ke atas imigresen untuk menghentikan pelampau-pelampau agama dan perkauman dari Semenanjung Malaysia dari memasuki Sarawak yang menimbulkan salah faham di kalangan pengikut-pengikut pelbagai agama. 

"Saya adalah hasil didikan Sekolah St. Joseph, dan saya masih seorang Muslim," katanya, sambil menambah bahawa agama adalah pilihan antara seorang peribadi dengan Tuhan.

Biskop Besar Roman Katolik Kuching, Reverend Simon Peter Poh yang juga hadir berkata dalam ucapannya bahawa dia telah menerima banyak panggilan dan mesej yang prihatin daripada kawan-kawannya sejak dia diganggu di kompleks Mahkamah Tinggi Kuching Selasa lepas selepas pendengaran Mahkamah Persekutuan itu. 

Dia berkata iman kepada Tuhan yang menyebabkannya tenang di tengah keriuhan itu.

"Tuhan itu mengasihi, itulah yang mengajar saya untuk mengasihi orang-orang di sekeliling saya," kata Poh.  

Dia berkata Sekolah St. Joseph di mana dia telah mendapat pendidikan selama 13 tahun telah mejadi tapak latihan baginya bekerjasama dengan orang-orang dari pelbagai agama dan kaum.

Nota Editor: Seorang setiausaha akhbar kepada Ketua Menteri Sarawak kemudian menjelaskan kepada Malay Mail bahawa Datuk Patinggi Abang Johari Openg tidak bermaksud bahawa pindaan itu adalah untuk memudahkan mualaf Muslim untuk meninggalkan Islam seperti yang telah dilaporkan sebelum ini. Artikel itu telah pun dipinda sejak itu. 

(Diterjemahkan daripada artikel Malay Mail Online bertajuk, "Sarawak To Amend State Shariah Laws On Apostasy" yang ditulis oleh Sulok Tawie bertarikh 3 Mac 2018)