Sabtu, 14 April 2018

Jaga-Jaga 'Mubaligh Kristian' DAP Kata Ku Nan



PRU14 | Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memberi amaran kepada kakitangan kerajaan mengenai pengaruh DAP yang dilabelnya ramai dianggotai mubaligh Kristian.

Katanya lagi negara ini juga sedang berdepan cabaran "paling ketara" daripada sebuah pakatan dengan DAP menjadi tulang belakangnya.

Menurut Tengku Adnan DAP sebuah parti cauvinis dan kebanyakan pemimpin mereka adalah mubaligh Kristian.

"Kalau dia Katolik saya masih percaya lagi, (tapi) bila dia evangelist, new kristian, ini masalah.

"Inilah DAP yang sebenarnya dan mereka menjadi tulang belakang kepada parti yang disebut (Pakatan) HARAPAN. Jadi kita kena berhati-hati," katanya di Putrajaya hari ini.

Tengku Adnan yang juga menteri sementara berkata demikian di majlis pecah tanah dua buah surau di Precint 11K dan 11 F.

Dakwaan itu bukanlah asing buat DAP. Tahun lalu Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi mengumumkan sebarang undi yang diberikan kepada HARAPAN bermakna sokongan buat DAP yang didakwanya dibayangi mubaligh Kristian.

Tengku Adnan bagaimanapun berkata beliau tidak memusuhi mana-mana agama dan ia selaras dengan apa yang diajarkan al-Quran.

Memetik beberapa ayat daripada surah al-Kafirun beliau menegaskan supaya penganut sesuatu agama hidup tanpa mengganggu pihak lain.

Tengku Adnan juga menasihati orang ramai supaya beramal dengan cara hidup Islam yang sebenar dan mengelak daripada menonjolkan amalan yang berbeza daripada ajaran agama itu.

"Kita orang Islam tapi buat perkara mungkar, menjelikkan, jijik, hingga orang bukan Islam tengok kita geleng kepala," katanya.

Menurutnya Islam juga menentukan bagaimana kedaulatan negara manakala kedudukan raja-raja Melayu menjadi tunggak kepimpinan.

Namun katanya semua itu akan terhapus jika umat Islam tidak berhati-hati.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Jaga-Jaga 'Mubaligh Kristian' DAP Kata Ku Nan" yang ditulis oleh Alyaa Azhar bertarikh 14 April 2018)