Isnin, 5 September 2016

Sybil Kathigasu - Wirawati Berani Di Tengah Penjajahan Jepun


Dua hari lepas (3 Sep 2016), Google telah melancarkan Google Doodle dengan logo yang memperingati Sybil Karhigasu, seorang jururawat Malaya berbangsa Eurasia, yang dikenali dengan keberaniannya di bawah Penjajahan Jepun semasa Perang Dunia Kedua. 

Beginilah catitan yang menyertai Google Doodle itu:

"Sybil Kathigasu tidak pernah mengalah. Seorang pejuang kebebasan dan seorang jururawat, Kathigasu dan suaminya menyokong pasukan penentang semasa penjajahan Jepun sehinggalah mereka ditangkap pada 1943.

Untuk beberapa tahun sebelum penangkapan mereka, pasangan Kathigasu secara rahsia membekalkan ubat-ubatan, memberikan perkhidmatan perubatan, dan berkongsi maklumat yang diperolehi dari BBC melalui radio gelombang pendek mereka.

Doodle hari ini menunjukkan Kathigasu dalam pakaian seragam jururawatnya di luar rumah lama mereka di Papan, Perak. Riben bercorak dari Pingat George mengelilingi Doodle itu, satu penghormatan kepada sumbangan berani Kathigasu kepada pergerakan anti-penjajah."


Google memperingati Sybil Kathigasu pada 3 Sep 2016 sempena ulangtahun kelahirannya

Siapakah Sybil Kathigasu ini dan apakah yang telah dia lakukan? Bacalah artikel menarik ini yang telah diterbitkan dalam blog Life.Eat.Pray ...

Nama Sybil sewaktu kanak-kanak
adalah Sybil Medan Daly
Sybil Kathigasu telah dilahirkan dengan nama Sybil Medan Daly kepada seorang peladang Irish-Eurasia (Joseph Daly) dan seorang bidan Perancis-Eurasia (Beatrice Matilda nee Martin) pada 3 September 1899 di Medan, Sumatera. Nama tengahnya mencerminkan tempat lahirnya, Medan. Dia adalah anak kelima dan satu-satunya anak perempuan. Dia telah dilatih sebagai jururawat dan bidan dan dapat bertutur Bahasa Kantonis dengan fasih. Dia dan suaminya, Dr. Abdon Clement Karthigasu, menjalankan klinik di No. 141 Jalan Brewster (kini Jalan Sultan Idris Shah) di Ipoh dari 1926 sehinggalah penjajahan Jepun ke atas Malaya.

Suami Sybil Kathigasu adalah Dr. Arumugam Kanapathi Pillay (foto kanan), seorang berbangsa Tamil Sri Lanka dari Taiping. Dia telah dilahirkan pada 17 Jun 1892 di Taiping kepada Kanapathi Pillay dan Thangam. Dia mengahwini Sybil di Gereja St. John di Bukit Nanas, Kuala Lumpur. Pada awalnya terdapat bantahan dalam aspek agama daripada ibu bapa Sybil kerana Arumugam adalah Hindu dan Sybil adalah Katolik. Bagaimanapun, dengan izin bapa pihak lelaki, perkahwinan telah dijalankan selepas dia menukar namanya dari Arumugam Pillay ke Abdon Clement Kathigasu.
Sybil telah berkahwin dengan Dr. Abdon Clement Kathigasu dan mereka memiliki dua anak perempuan, Olga dan Dawn, dan seorang anak angkat, William. (Anak pertama mereka, Michael telah meninggal dunia tidak lama selepas dilahirkan). Mereka tinggal di Ipoh, Perak, tetapi menghabiskan kebanyakan masa mereka semasa Penjajahan Jepun di Papan, di luar Ipoh.

Membantu Pejuang-Pejuang Anti-Jepun

Rumah Kathigasu di Papan, dekat Ipoh, di mana mereka tinggal dan
memberi rawatan kepada pesakit termasuk pejuang anti-Jepun

Sybil Kathigasu dan suaminya yang dikenali sebagai Doktor menghabiskan banyak masa mereka untuk merawat ramai pejuang anti-Jepun yang tercedera atau sakit di samping orang-orang tempatan yang demam dan yang sering memerlukan penjagaan perubatan semasa Penjajahan Jepun. Mereka sering di bawah tekanan berat dan keadaan berbahaya sementara menjalankan tugas menyembuhkan pejuang-pejuang anti-Jepun yang sakit dan tercedera. Panggilan untuk keprihatinan dan tindakan yang tidak mementingkan diri untuk pejuang-pejuang yang tercedera ini telah datang dari Tuhan pada awal Penjajahan Jepun.

Ditangkap dan Diseksa Oleh Pihak Jepun

Walaupun dibantu oleh ramai orang yang baik hati di Ipoh dan Papan, Sybil Kathigasu dan suaminya akhirnya telah dikhianati dan diketahui oleh pihak berkuasa Jepun. Mereka berdua telah disoal-siasat dan diseksa selama berjam-jam oleh angkatan penjajah yang kejam. Semuanya kerana dia menjawab panggilan Tuhan untuk merawat pejuang-pejuang anti-Jepun dan memiliki radio gelombang pendek untuk mendengar siaran BBC untuk berita kemajuan tentera Bersekutu dalam pertempuran-pertempuran Perang Dunia II. 

"Mereka telah dikhianati dan dia telah ditangkap oleh Jepun pada 1943 dan diseksa tanpa belas kasihan. Sybil dikenakan "ujian wain Tokyo" di mana air dipam ke dalamnya dan penyeksanya akan memijak-mijak perutnya dan memaksa air keluar dari semua lubang tubuhnya. 
Dia dipukul, dibakar dan ditendang di tulang rahangnya dalam cubaan untuk menundukkannya. Dia tidak dapat berjalan, kehilangan semua kuku jarinya dan tulangnya patah di berbagai tempat, termasuk di tengkoraknya. Anak perempuannya berusia lima tahun, Dawn digantung di pokok dan para penyeksanya mengugut memanggangnya hidup-hidup dengan arang di bawahnya.
Meskipun diseksa dan dibuang ke dalam penjara oleh pihak tentera Jepun, Sybil tidak pernah mendedahkan maklumat mengenai gerakan penentang. Dia bertahan melalui keperitan itu walaupun kesihatannya telah terjejas teruk akibat pelbagai kecederaan yang dialaminya dalam tempoh pemenjaraannya." -  petikan dari Hornbill Unleashed

Walaupun Sybil dan Doktor terpaksa melalui kekejaman yang ekstrim daripada pihak Jepun, mereka tidak sekali pun mengalah kepada tekanan dan seksaan yang ekstrim yang dikenakan ke atas mereka meskipun kesakitan fizikal dan mental itu terlalu teruk. 

Dianugerahi Pingat George untuk Keberanian

Pingat George
Bagaimanapun, kecederaan yang dialami oleh Sybil adalah terlampau teruk dan dia tidak pernah pulih sepenuhnya daripadanya. Dia juga mengalami keretakan tulang belakang daripada pukulan berulang-kali semasa disoal-selidik, yang menyebabkan kelumpuhan sebahagian tubuhnya. Dia menjalani pelbagai pembedahan dalam usaha memulihkan kesihatannya tetapi dengan kejayaan yang terhad. Dia berusaha berjalan sendiri tanpa pertolongan dan menghadiri upacara di mana Raja George VI menganugerahkannya Pingat George untuk menghargai keberaniannya semasa Penjajahan Jepun. (Sybil adalah satu-satunya wanita di negara ini yang pernah menerima pingat George). Malangnya Sybil meninggal dunia pada 12 Jun 1948 kerana keracunan darah (septicaemia) dari keretakan tulang rahang akibat tendangan kasut keras penyeksanya, Ekio Yoshimura.

Jenazah Sybil Dikembalikan Ke Ipoh

Sybil Kathigasu telah meninggal dunia pada 12 Jun 1948 di Britain dan dia telah dikebumikan di Lanark, Scotland. Jenazahnya kemudiannya telah dikembalikan pada 1949 ke Ipoh dan dikebumikan semula di kuburan Roman Katolik bersebelahan St. Michael Church di Ipoh. 

Sebuah jalan di Fair Park, Ipoh telah dinamakan untuknya (Jalan Sybil Kathigasu) selepas Merdeka untuk memperingati keberaniannya. Pada hari ini, rumah kedai di 74, Jalan Besar, Papan telah dijadikan khazanah peringatan untuk Sybil dan segala jasanya.

Jasanya Tidak Harus Dilupakan

Buku "No Dram of Mercy"
Jasa Sybil tidak banyak diketahui oleh masyarakat muda Malaysia hari ini, termasuk diri saya. Saya hanya mengetahui kisahnya secara paling asas sahaja, selepas membaca mengenainya dalam sebuah petikan latihan kefahaman Bahasa Inggeris sewaktu di sekolah menengah. Oleh itu, baru-baru ini apabila saya mendapat senaskah bukunya, "No Dram of Mercy", barulah saya menyedari bahawa dia adalah salah seorang wirawati yang kurang dikenali dalam sejarah Malaysia, terutamanya berkenaan Penjajahan Jepun.

Buku ini menjadi peringatan kepada kita semua, terutama yang telah membacanya dan/atau yang telah mengenali kisahnya mengenai harga yang telah dibayarnya atas nama kebebasan untuk negara kita, Malaysia. Meskipun kita ada pemimpin-pemimpin politik zaman dulu yang telah menerajui usaha mendapatkan kebebasan dan kemerdekaan Malaysia. kisah Sybil Kathigasu tidak harus dilupakan; sumbangannya terhadap kebebasan Malaysia adalah juga sebahagian penting dalam sejarah Malaysia.

(Dipetik dan diterjemah oleh SDP daripada artikel Life.Eat.Pray bertajuk, "Biography of Sybil Kathigasu" yang ditulis oleh Nabilapandi bertarikh 4 Mac 2014)